
KUALA LUMPUR, 3 Jul 25 – Kumpulan masyarakat sivil hari ini mengadakan pertemuan bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam usaha menyalurkan pandangan buah fikiran terhadap gagasan Konsensus Nasional Baharu (KNB).
Dalam hantaran Facebook, Ahli Parlimen Larut itu berkata, kumpulan sivil seperti IDEAS, Pusat Komas, Bersih, Projek Sama, C4, dan Transparency International – Malaysia (TI-M) terlibat memberi pandangan membina terhadap gagasan tersebut.
“Dalam pembinaan sesebuah negara bangsa, pandangan, kritikan serta percambahan idea daripada kumpulan pertubuhan masyarakat sivil penting kerana mereka merupakan NGO yang sentiasa dekat dengan masyarakat.
“Kumpulan seperti ini merupakan antara peneraju kepada suara-suara masyarakat sivil dalam mengangkat agenda tadbir urus baik,” katanya.
Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, kumpulan itu menyambut baik agenda KNB dan turut sama memberikan pandangan-pandangan konstruktif dalam isu-isu tadbir urus, anti rasuah serta transformasi pilihan raya.
“Perikatan Nasional komited untuk memperjuangkan reset ke atas kepimpinan negara dengan memperbaiki isu-isu institusi agar nikmat kemakmuran ini dikecapi semua pihak di bawah satu konsensus baharu,” kata Hamzah.
Agenda KNB merupakan satu gagasan yang telah dilontarkan oleh Hamzah ketika menyampaikan syarahan di Institut Iseas–Yusof Ishak, Singapura, Mei lalu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.