
KUALA LUMPUR | 22 Sep 26 – Ketua Penerangan Parti Pejuang, Rafique Rashid berpandangan pertelagahan antara parti-parti Melayu dalam merebut kerusi pada PRU16 tidak dapat dielakkan, namun ia perlu diselesaikan lebih awal demi membuka ruang kepada penyatuan Melayu.
Menurut Rafique, perbezaan politik tetap akan berlaku kerana setiap parti akhirnya mahu mendapatkan kuasa melalui pilihan raya.
“Adakah kita akan bergaduh? Pasti kita akan bergaduh. Kita akan bergaduh untuk cari kerusi, saya pasti. Tetapi buat cepat-cepat. Baik gaduh sekarang, selesaikan masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membincangkan isu penyatuan ummah dalam podcast Politikopi terbitan Politiko.my bertajuk “Penyatuan Ummah – Eksklusif atau Inklusif?” baru-baru ini.
Rafique turut mengaitkan penyatuan Melayu dengan keperluan mewujudkan pertandingan satu lawan satu pada PRU16.
Katanya, pendekatan itu sudah dapat dilihat dalam PRN Negeri Sembilan apabila BN dan PN bertanding di kerusi masing-masing dengan mesej kempen yang lebih mudah kepada pengundi.
“Kalau tuan-tuan dan puan-puan ada di tempat di mana PN bertanding, beri undi kepada PN. Kalau ada di tempat BN bertanding, beri undi kepada BN. Tak payah nak syarah yang lain dah,” katanya.
Dalam pada itu, Rafique berkata gagasan “payung besar” yang pernah dibawa Tun Dr Mahathir Mohamad menekankan supaya orang Melayu tidak terlebih dahulu mengenal diri berdasarkan parti politik.
Menurutnya, pendekatan itu bermaksud kepentingan politik kepartian perlu diketepikan apabila membincangkan agenda penyatuan Melayu.
“You identify diri you sebagai orang Melayu dulu. Maknanya you meletakkan tepi kepentingan politik you. You tak fikir pasal kerusi,” katanya.
Bagaimanapun, Rafique menegaskan bahawa matlamat akhir politik tetap berkait dengan usaha mendapatkan kuasa melalui kemenangan dalam pilihan raya.
Beliau turut menyentuh kebimbangan dalam kalangan bukan Melayu terhadap agenda penyatuan Melayu, dengan menyatakan bahawa beliau tidak melihat masyarakat bukan Melayu ditindas dalam pentadbiran negara.
“Sebenarnya dah lama dah kerajaan Malaysia ni ditadbir dan dipegang oleh orang Melayu. Saya tak nampak pun orang bukan Melayu ditindas,” katanya.
Rafique turut mendakwa sebahagian besar individu terkaya di Malaysia terdiri daripada bukan Melayu, ketika mengulas kedudukan ekonomi antara kaum. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.