
KUALA LUMPUR, 14 Jul 25 – Selepas Pejuang, kali ini DAP pula menggesa pihak polis menyiasat kandungan minit mesyuarat yang dibocorkan itu.
Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh berkata, sekalipun mengambil maklum akan siasatan yang dijalankan, beliau berasa kesal kerana tiada sebarang kenyataan dikeluarkan berhubung isu utama.
“Saya mengambil maklum kenyataan Ketua Polis Negara, Khalid Ismail bahawa siasatan terhadap perkara ini telah dimulakan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 203A Kanun Keseksaan (pendedahan maklumat yang diperoleh semasa menjalankan tugas), dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Namun saya kesal kerana tiada sebarang kenyataan dikeluarkan berhubung isu utama, iaitu sama ada dakwaan campur tangan kehakiman dalam minit bocor tersebut akan turut disiasat secara menyeluruh. Katanya.
Menurutnya lagi, kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berhubung siasatan tersebut, seperti mengesahkan dokumen yang dibocorkan itu adalah sahih.
“Kenyataan Khalid seolah-olah mengesahkan bahawa minit yang bocor itu adalah sahih, yang menjadikan keperluan untuk menyiasat di bawah OSA wajar, sekaligus menambah kepentingan untuk menyiasat dakwaan salah laku yang terkandung dalam minit berkenaan.
“Dakwaan tersebut adalah sangat serius kerana ia melibatkan asas integriti sebuah institusi utama dalam sistem demokrasi, iaitu badan kehakiman, dan rakyat berhak mengetahui sama ada dakwaan itu benar atau tidak. Ujarnya.
Ramkarpal yang Ahli Parlimen Bukit Gelugor juga menuntut siasatan yang menyeluruh dan telus.
“Sebarang tindakan yang kurang daripada itu boleh menyebabkan kehilangan keyakinan yang serius terhadap kerajaan Madani. Ujarnya.
Terdahulu, Ketua Penerangan Parti Pejuang, Rafique Rashid mengingatkan agar Polis turut menyiasat individu-individu yang namanya wujud dalam dokumen yang dipercayai minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC). @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.