
KUALA LUMPUR, 18 Jul 25 – Tan Sri Muhyiddin Yassin terbukti perdana menteri yang lebih baik ketika Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan berbanding kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail berkata, walaupun tempoh pemerintahan Muhyiddin singkat, kehidupan rakyat lebih baik dan terjamin dengan bantuan dan subsidi ketika negara dilanda wabak Covid-19.
“Bukan seperti di zaman Anwar dan PH-BN, ekonomi dan kewangan menjadi semakin buruk, rakyat menjadi semakin susah, walaupun Anwar telah memerintah hampir tiga tahun tanpa gangguan dan sabotaj daripada Umno.
“Di zaman Muhyiddin dan PN, perdana menteri dan kerajaan sibuk mengumumkan bantuan dan tambah subsidi, di zaman Anwar dan PH-BN, perdana menteri dan timbalan sibuk jalan sana jalan sini dan sibuk umum cukai dan tarik subsidi.
“Timbalan perdana menteri masih tak balik-balik dari jalan sana jalan sini,” katanya, merujuk kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga merupakan presiden Umno.
Tun Faisal turut menyenaraikan beberapa pencapaian yang menurutnya kejayaan sepanjang 17 bulan pentadbiran kerajaan PN di bawah Muhyiddin.
Ketua Bahagian Bersatu Putrajaya itu berkata, dalam tempoh kurang sebulan dilantik sebagai perdana menteri ke-8 pada Mac 2020, beliau berjaya melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).
“Ini sangat berbeza dengan PM10 Anwar yang selepas lebih dua tahun masih belum kelihatan pelan pemulihan ekonomi negara dan kebajikan rakyat yang berkesan,” katanya.
Pentadbiran Muhyiddin ketika itu memperkenalkan beberapa pakej rangsangan ekonomi yang bernilai lebih RM530 bilion bagi membantu rakyat dan perniagaan yang terkesan akibat pandemik.
Malah, Malaysia juga waktu itu katanya diiktiraf dalam kalangan 20 buah negara terbaik dalam menguruskan pandemik Covid-19, antaranya daripada Bank Dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan Tabung Kewangan Antarabangsa berkenaan keupayaan kerajaan waktu itu menyeimbangkan antara menyelamatkan nyawa dan menjaga kestabilan ekonomi.
Malah, katanya Persatuan Pengilang Malaysia (FMM) turut melahirkan penghargaan dengan kepimpinan Bersatu dan kebijakan Muhyiddin yang melaksanakan pakej rangsangan ekonomi, khususnya dasar moratorium dan subsidi gaji dalam usaha memacu pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19.
“Ini membuktikan rakyat Malaysia sendiri merasakan impak kebijakan Muhyiddin dan PN dalam menguruskan dan mentadbir negara.
“Tidak seperti hari ini, di mana rakyat dan peniaga mengeluh kerana dasar-dasar dan kegagalan pentadbiran kerajaan yang mengakibatkan kehidupan mereka semakin terbeban dan tertekan,” kata Tun Faisal.
Hakikatnya, Tun Faisal berkata, di bawah kepimpinan Muhyiddin, kerajaan PN telah melaksanakan pelbagai program bantuan yang menyelamatkan ekonomi, perniagaan, dan kehidupan rakyat sepanjang krisis Covid-19 yang mendapat pengiktirafan dunia.
“Bukan macam ‘Kerajaan Lembu Kenyang’ PH-BN yang ada perdana menteri dan menteri-menteri pun seperti tak ada perdana menteri dan menteri-menteri, ada kerajaan pun seperti tak ada kerajaan.
“Dua menteri letak jawatan pun, tak mampu nak digantikan lagi. Selepas sebulan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump umum tarif reciprocal kepada Malaysia naik baru nak buat sidang khas di Dewan Rakyat.
“Padahal negara jiran dah buat lebih awal… Slow,” kata Tun Faisal. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.