Haniff Saman Kerajaan, Mohon Mahkamah Isytihar Teks Perlembagaan Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR, 22 Jul 25 – Peguam Kanan Haniff Khatri Abdulla memfailkan saman terhadap kerajaan bagi memohon pengisytiharan mahkamah Perlembagaan Persekutuan versi bahasa Melayu adalah teks berwibawa yang harus mengatasi versi bahasa Inggeris jika terdapat sebarang percanggahan.

Haniff turut memetik Perkara 160B Perlembagaan, berkata, jika Perlembagaan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkannya sebagai teks yang berwibawa.

Jelas Haniff, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail – selaku Agong pada 2003 telah melancarkan Perlembagaan dengan teks bahasa kebangsaan namun selepas lebih dua dekad, kerajaan masih gagal daripada menguatkuasakannya sebagai teks sahih.

“Ini adalah satu kemungkiran terhadap kewajipan kerajaan di bawah Perlembagaan untuk mengambil segala langkah-langkah yang perlu bagi melaksanakan kesemua proses dan prosedur sistem tadbir urus yang sah, termasuk bagi memartabatkan dan mendaulatkan bahasa kebangsaan,” katanya, dalam satu kenyataan.

Haniff berkata, saman itu difailkan atas kapasiti peribadi melalui firma guaman Fuad Abi & Aidil dengan menamakan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Ia difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Haniff berkata, sekiranya mahkamah enggan membuat pengisytiharan itu, beliau meminta mahkamah memaksa kerajaan mengambil semua langkah yang perlu untuk menjadikan versi bahasa Melayu sebagai teks berwibawa dalam tempoh lima tahun selepas keputusan mahkamah.

Beliau turut menegur kerajaan kerana gagal menguatkuasakan perlembagaan versi bahasa Melayu seperti yang sepatutnya.

“Adalah sangat tidak munasabah bagi sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat seperti Malaysia masih tidak memiliki teks sahih Perlembagaan di dalam bahasa kebangsaannya sendiri walaupun sudah mencapai kemerdekaan lebih enam dekad.

“Peri pentingnya pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah inti pati langsung kepada keutuhan patriotisme saya sebagai seorang rakyat Malaysia yang terjejas dan akan terus terjejas seandainya undang-undang tertinggi negara – iaitu Perlembagaan Persekutuan – masih tidak dianggap wujud di dalam bahasa kebangsaan,” katanya.

Haniff berkata pada 16 Jan lalu Tuanku Syed Sirajuddin menulis surat didakwa kepada Jabatan Peguam Negara untuk bertanya mengapa teks bahasa kebangsaan yang dilancarkan baginda pada 2003 masih tidak digunakan sebagai teks berwibawa. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share