
KUALA LUMPUR, 30 Jul – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan Cukai Barangan Bernilai Tinggi atau High Value Goods Tax (HVGT).
Katanya, prinsip HVGT sudah diterapkan dalam semakan semula struktur cukai jualan dengan barang mewah dan bersifat pilihan dikenakan cukai pada kadar 5% hingga 10%.
“Pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal atau Capital Gains Tax (CGT) telah bermula secara efektif pada 1 Mac 2024. Berdasarkan jumlah dan nilai transaksi semasa bagi saham tidak tersenarai, kerajaan menganggarkan kutipan hasil sekitar RM800 juta setahun.
“Namun kutipan sebenar bagi sesuatu tahun taksiran hanya akan dimuktamadkan selepas pembayar cukai syarikat mengemukakan borang nyata cukai pendapatan masing-masing,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen di sini hari ini.
Menteri Kewangan itu berkata kerajaan juga mengambil beberapa langkah melalui pelaksanaan cukai langsung dan tidak langsung bagi mengukuhkan kutipan hasil negara.
Anwar menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang bertanyakan mengenai unjuran penambahan pendapatan negara hasil daripada pelaksanaan reformasi fiskal termasuk pengenalan HVGT, cukai perkhidmatan digital (CGT), cukai barangan bernilai rendah (LVG), peluasan cukai SST serta rasionalisasi subsidi yang sedang dan akan dilaksanakan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.