Putra Persoal Program MyKasih, Rakyat Berdepan Masalah Teknikal Berulang

KUALA LUMPUR, 3 Sep 25  – Program MyKasih yang diperkenalkan kerajaan Madani untuk membantu golongan berpendapatan rendah membeli barangan asas kini berdepan pelbagai persoalan berkaitan keberkesanan dan kecekapan pelaksanaan.

Menurut Ahli Dewan Tertinggi PUTRA, Kamarudin Ismail, program yang sepatutnya meringankan beban kos sara hidup rakyat kini menjadi beban akibat masalah teknikal yang berulang-ulang di lapangan.

Antara rungutan utama rakyat, katanya, termasuk terminal pembayaran yang kerap tergendala, bilangan kaunter juruwang terhad, serta ada pelanggan terpaksa meninggalkan barangan kerana tidak sanggup menunggu terlalu lama.

“Masalah ini bukan sekadar isu teknikal. Ia menyentuh soal keyakinan rakyat terhadap kerajaan Madani yang sebelum ini menjanjikan pentadbiran cekap, telus dan berpusatkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dari sudut politik, Kamarudin menyifatkan kelemahan pengurusan MyKasih membuka ruang besar untuk pembangkang mengasak kredibiliti kerajaan.

“Bagaimana rakyat mahu percaya kepada agenda Madani jika isu asas seperti sistem kebajikan gagal diuruskan dengan baik? Ketika kerajaan melaungkan prinsip ihsan dan keadilan sosial, rakyat di pasar raya berdepan realiti terminal tergendala,” ujarnya.

Kamarudin turut mempersoalkan pemilihan vendor dan penyedia sistem MyKasih, sama ada mereka benar-benar berkelayakan atau sebaliknya lantikan dibuat bagi memenuhi kepentingan tertentu.

Beliau menggariskan beberapa cadangan penambahbaikan segera, antaranya audit menyeluruh terhadap sistem dan vendor, penjelasan telus kepada rakyat mengenai punca masalah, penyelarasan antara kementerian, penyediaan terminal sandaran dengan pasukan teknikal bergerak, serta latihan staf dan saluran aduan khas.

“Program MyKasih tidak boleh hanya dilihat sebagai skim bantuan, tetapi cerminan kemampuan kerajaan Madani mengurus keperluan rakyat. Jika masalah ini tidak ditangani, MyKasih akan dikenang bukan sebagai bantuan penyelamat, tetapi simbol kegagalan pengurusan,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share