
SHAH ALAM, 7 Sep 2025 — Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim, menyifatkan insiden pergelutan yang tercetus ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke-8 sebagai satu episod hitam yang “amat memalukan parti.”
Menurut Shafiq, kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia mencemarkan maruah serta kewibawaan Bersatu di hadapan perwakilan dan pemerhati.
“Pergelutan semasa ucapan dasar presiden amatlah memalukan parti. Sepatutnya kita menampilkan kesatuan, bukan membuka ruang kepada provokasi atau tindakan luar kawalan,” tegas beliau.
Berdasarkan rakaman video yang tular, seorang anggota beruniform tampil mencekak leher salah seorang yang dikatakan Ketua Bahagian. Insiden tersebut telah mencetuskan kekecohan yang lebih besar.
Mengulas lanjut, Shafiq menegaskan bahawa budaya sedemikian perlu ditolak kerana ia hanya melemahkan parti daripada dalam.
“Setiap ahli wajar mengekalkan disiplin dan rasa hormat, khususnya ketika mendengar amanat presiden. Katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perhimpunan parti adalah wadah untuk membincangkan strategi serta menyatukan tenaga menjelang pilihan raya, bukannya gelanggang untuk menunjukkan perbezaan secara kasar.
Malam tadi, kekecohan berlaku ketika Presiden Bersatu berucap dan beliau secara terbuka mendakwa wujud usaha dalaman untuk menjatuhkannya melalui kutipan tandatangan. Ucapan tersebut mencetuskan kekecohan dikalangan perwakilan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.