
KUALA LUMPUR, 23 Sep 25 – Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa cadangan mendirikan “payung besar” politik Melayu hanya akan mengundang lebih banyak perpecahan sekiranya ada tokoh cuba menubuhkan payungnya sendiri.
Dalam kenyataan terbarunya, sekiranya terdapat dua atau tiga payung besar, maka ia akan memecah belahkan orang Melayu.
“Tiap mereka yang ingin jadi Perdana Menteri mendiri payung besar mereka. Dengan itu akan terdapat dua, tiga atau lebih payung besar. Dan orang Melayu pun akan sokong dan jadi anggota payung-payung ini. Maka payung besar pun memecah belah orang Melayu.”
Dr. Mahathir menegaskan, walaupun pengundi Melayu memiliki jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan, kuasa itu akan hilang jika terus berpecah.
“Sesungguhnya pengundi Melayu mempunyai cukup kawasan untuk menang dan diri Kerajaan. Tetapi bukanlah niat orang Melayu untuk mendiri Kerajaan 100% Melayu. Seperti dengan Perikatan dahulu, Kerajaan campuran boleh didiri dengan kaum Cina, India dan suku kaum lain,” katanya lagi.
Kenyataan ini dilihat sebagai sindiran terhadap langkah beberapa tokoh politik khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan sedang menggerakkan gabungan longgar baharu di luar kerangka Perikatan Nasional (PN) dan pada masa yang sama, usul menamakan beliau sebagai calon PM dibuat ketika perhimpunan agung tahunan Bersatu (PAT) baru-baru ini.
Mahathir dalam kenyataan terdahulu bukan sahaja membayangkan risiko perpecahan akibat terlalu banyak “payung besar”, tetapi juga mengingatkan bahawa obsesi untuk menjadi calon perdana menteri sering membawa kepada kelemahan blok pembangkang sendiri.
“Hendak ada satu sahaja payung besar atau beberapa payung besar? Hendak bersatu atau hendak berpecah? Percayalah jika ada lebih dari satu payung besar, hasilnya perpecahan dan kekalahan.” Kata Mahathir dalam nada memberi peringatan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.