Kumpul SD Untuk Serah Kepada Presiden Saluran Betul, Kata Peguam

KUALA LUMPUR, 30 Sep 25 – Tindakan beberapa pemimpin Bersatu mengumpul Akuan Bersumpah (SD) untuk diserahkan kepada Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah perkara tepat dalam menggunakan saluran dalaman parti untuk ahli menyuarakan pandangannya, kata peguam kanan Haniff Khatri Abdulla.

Haniff yang merupakan individu awal menggubal perlembagaan Bersatu berkata, tindakan Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan itu juga langkah yang betul.

“Rakyat dan ahli parti mengharapkan politik yang matang. Dalam sistem parti politik kalau ada perkara berbangkit berkata biar ahli bawa melalui saluran dalaman. Itu latar belakang isu SD, pihak dalam parti ketua bahagian ambil saluran dalaman.

“Kalau betul kenyataan Wan Saiful berkenaan SD semata-mata minta pada masa itu tidak diletakkan calon perdana menteri sebagai Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terbuka apa salahnya ahli bawa melalui saluran dalaman. SD yang sepatutnya diserahkan kepada presiden,” kata Haniff kepada politiko.my.

Demokrasi dalam parti juga katanya akan ketinggalan sekiranya parti melarang mana-mana ahli daripada memberikan pandangannya.

“Inilah masalahnya. Ikut saluran dalaman kena tindakan disiplin. Tak ikut saluran dalaman pun kena tindakan disiplin. Rakyat tak boleh terima adat resam parti politik sekarang. Ahli seolah jadi pak turut kepada pemimpin

“Saya tak nampak masalah ahli, bukan setakat ahli ketua bahagian bawa SD kepada presiden kemudian dianggap nak jatuhkan.

“Rakyat dah jemu parti politik suka pusing isu. Kalau betul Wan Saiful cakap mana cubaan nak jatuhkan presiden. Mana dia. Ini adalah untuk cadangkan jangan umum calon perdana menteri tapi ketengah presiden sebagai ketua parti,” katanya.

Katanya rakyat juga akan hilang kepercayaan dan hormat kepada parti kerana ia seolah-olah ikut keselesaan pemimpin.

“Tiada ruang ahli bawa cadangan, ini kesan apa yang berlaku. Menggalakkan rakyat hilang hormat sistem parti.

“Kalau ahli buat kenyataan di luar dalaman parti tindakan boleh diambil dipecat dan sebagainya macam mana ahli nak bawa pandangan, bawa ikut dalaman pula dikatakan secara salah nak jatuhkan presiden.

“Ini amat memalukan kalau parti ikut konsep media sosial sebagai asas mengambil tindakan,” kata Haniff. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share