
KUALA LUMPUR, 4 Okt 25 — Ketua Bahagian Bersatu Selayang mendakwa wujud gerakan terancang untuk membubarkan kepimpinan bahagian melalui taktik memujuk ahli jawatankuasa meletak jawatan, bagi membuka ruang kepada pelantikan proksi tertentu.
Ahmad Nasir Mid dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu dikaitkan dengan seorang Adun di Selangor.
Beliau telah membuat laporan salah laku kepada Lembaga Disiplin Bersatu pada 23 September 2025, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.
“Persoalannya, adakah ini strategi untuk melantik proksi mereka sebagai jawatankuasa penaja bagi mengukuhkan pengaruh peribadi dalam parti? Ini tindakan yang amat berbahaya dan mencemarkan imej Bersatu,” katanya.
Katanya, tindakan memujuk ahli jawatankuasa (AJK) bahagian untuk meletak jawatan merupakan strategi terancang yang boleh membawa kepada pembubaran bahagian. Berdasarkan perlembagaan parti, jika cukup bilangan AJK meletak jawatan, jawatankuasa bahagian akan terbubar dan satu jawatankuasa penaja baharu boleh dilantik.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kelewatan Lembaga Disiplin menangani aduan tersebut, sedangkan dalam kes melibatkan Datuk Wan Saiful Wan Jan, notis siasatan telah dikeluarkan dalam tempoh tiga hari.
Menurutnya, situasi ini menimbulkan persepsi bahawa lembaga berkenaan bersikap selektif dan berat sebelah.
“Jika kes Wan Saiful boleh disiasat dalam masa tiga hari, mengapa aduan terhadap Adun mengambil masa terlalu lama? Adakah ada layanan berbeza kepada mereka yang rapat dengan tokoh tertentu?” soalnya.
Katanya lagi, kelewatan dan sikap berdiam diri Lembaga Disiplin boleh menimbulkan persepsi bahawa Bersatu kini dikuasai oleh kumpulan yang menggunakan institusi parti untuk melindungi kepentingan sendiri.
Beliau memberi amaran bahawa hal ini boleh mencetuskan kemarahan akar umbi dan menggugat kredibiliti kepimpinan tertinggi.
“Saya bimbang persepsi salah akan tersebar luas, bahawa parti ini sudah dikuasai oleh individu yang memperalatkan Lembaga Disiplin untuk menindas musuh politik dalaman, tegasnya.
Beliau menyeru pucuk pimpinan parti agar segera campur tangan dan memastikan tindakan diambil tanpa pilih kasih bagi mengelakkan perpecahan lebih besar dalam Bersatu Selangor serta mengembalikan keyakinan ahli terhadap kepimpinan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.