
KUALA LUMPUR, 7 OKT 25 — Ketika kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha menonjolkan pencapaiannya mentadbir negara, pembangkang yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin, masih bergelut dengan isu kepimpinan dan krisis dalaman melibatkan parti komponen.
Portal FMT melaporkan, Bersatu yang merupakan antara tunjang PN berhadapan pergolakan antara pemimpin dan berisiko memecahbelahkan parti, ketika memasuki separuh daripada tempoh penggal sebelum PRU16.
“Bagi sebuah parti yang berasaskan konsep perpaduan Melayu, Bersatu kini kelihatan berpecah kepada beberapa puak yang bersaing, berisiko mengalami kehancuran dalaman seperti yang pernah menimpa parti-parti Melayu lain sebelum ini,” lapor portal tersebut.
Krisis itu antara lain melibatkan pergolakan terbuka apabila Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan menuduh Setiausaha Agung Datuk Seri Azmin Ali dan Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, menakut-nakutkan ketua bahagian yang didakwa terlibat dalam usaha menyingkirkan presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Wan Saiful menafikan ada gerakan cubaan mengguling Muhyiddin, sebaliknya menegaskan tandatangan yang dikumpul melibatkan ketua bahagian parti bukan bertujuan untuk menggulingkan Muhyiddin, sebaliknya untuk membantah perbincangan awal mengenai calon perdana menteri Bersatu menjelang perhimpunan agung tahunan pada 9 Sept lepas.
Pertelingkahan itu kemudian menjadi peribadi, apabila Wan Saiful mendakwa Azmin ‘tidak layak’ untuk memimpin, namun Azmin menolak tuduhan itu sebagai sebahagian daripada ‘budaya fitnah’ yang boleh menghancurkan parti.
Asas pertelingkahan itu adalah membabitkan pencalonan perdana menteri gabungan pembangkang, dengan Bersatu ketika PAT menamakan Muhyiddin.
Namun Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengatakan jawatan itu patut diisi individu berusia bawah 70 tahun, sedangkan Muhyiddin memasuki usia 78 tahun.
Portal itu turut berkata, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin, 68, sering disebut-sebut sebagai calon berpotensi, namun pencalonannya dijangka akan mencetuskan penentangan daripada penyokong Muhyiddin dan Azmin.
“Sementara kerajaan perpaduan boleh menonjolkan pencapaian dasar-dasarnya, PN pula berisiko dalam jangka pendek menjelangnya PRN Sabah dan jangka panjang bagi PRU16 apabila tiada pemimpin yang jelas atau mesej yang padu,” kata laporan. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.