Zuraida & NGO Sepakat: Muhyiddin Perlu Undur Diri Demi Integriti PN

KUALA LUMPUR, 11 Okt 2025 — Mantan Menteri Perikatan Nasional, Datuk Zuraida Kamaruddin, menyarankan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sementara daripada mengetuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN), demi menjaga kelangsungan serta integriti parti ketika beliau berdepan perbicaraan di mahkamah.

Menurut Zuraida, langkah itu bukan bermaksud mengiktiraf kesalahan, sebaliknya tindakan bijak bagi mengelak pentadbiran parti terganggu dengan isu peribadi.

“Sudah menjadi lumrah, di dunia luar bila ketua parti didakwa di mahkamah, mereka letak jawatan, sementara pun tak apa. Ia bagi memberi ruang dan masa kepada beliau sendiri,” katanya kepada Politiko.my.

Bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu menambah, sudah tiba masanya barisan pelapis diberi peluang memimpin dan membuktikan kemampuan mereka.

“Elok kalau sekiranya beliau berehat sebentar dan berikan kepimpinan kepada ‘second liner’ atau ‘third liner’. Jadi mereka boleh buktikan mereka mampu memimpin parti,” ujarnya.

Sebelum ini, Muhyiddin dilapor bakal dibicarakan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi pasukan pembelaan untuk menggugurkan tujuh tuduhan salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM400 juta.

“Langkah Integriti, Bukan Pengakuan Salah”

Nada sama turut disuarakan oleh Pengerusi NGO Negarawati, Bibi Sunita Sakandar Khan, yang bimbang isu perbicaraan Muhyiddin akan menjejaskan imej Bersatu dan PN.

“Keputusan untuk meletakkan jawatan bukan pengakuan bersalah, tetapi langkah berintegriti yang meletakkan kepentingan kolektif mengatasi individu,” katanya.

Beliau menegaskan, kesinambungan kepimpinan yang berdepan kes mahkamah boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap keseluruhan parti.

“Perbincangan berterusan mengenai kes mahkamah mengalih perhatian daripada perjuangan sebenar parti. Meletakkan jawatan mengurangkan tanggapan bahawa kedudukan politik boleh mempengaruhi proses kehakiman,” katanya.

“Prinsip tanggungjawab dan akauntabiliti perlu mempamerkan standard etika tertinggi, terutama dalam isu sensitif seperti rasuah,” tambah beliau lagi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share