PAT: Bukan Platform Kejar Cita-Cita Peribadi – KB Ipoh Timor

KUALA LUMPUR, 2 Sep 25 – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan supaya menjadikan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) sebagai medan membincangkan isu rakyat dan hala tuju parti, bukannya platform untuk mengejar kepentingan atau cita-cita peribadi.

Ketua Bahagian Bersatu Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail berkata, tumpuan utama parti perlu kembali kepada usaha mencari jalan penyelesaian terhadap masalah rakyat yang semakin tertekan di bawah pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bagi saya isu siapa Perdana Menteri bukan pokoknya, asalkan bukan Anwar Ibrahim. Rakyat sedang tertekan dengan rejim kepimpinan Anwar Ibrahim. Bersatu perlu menjuarai isu rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap desas-desus kononnya terdapat usaha membawa usul mengekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri pada PRU16, yang menurutnya tidak wajar kerana seolah-olah menggambarkan Presiden Bersatu tidak mendapat sokongan padu daripada ahli.

“Tan Sri Muhyiddin adalah Presiden kita semua. Ketaatan dan kesetiaan kami adalah kepada Presiden dan Parti. Jangan rosakkan imej beliau dengan usul sedemikian,” tegasnya.

Menurut Muhammad Fadhli, Muhyiddin sendiri pernah menegaskan mengenai pelan peralihan kepimpinan (succession plan), dan langkah itu wajar dihormati oleh semua ahli parti.

Beliau turut mengingatkan bahawa usaha mengekalkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri boleh dilihat sebagai tindakan mempergunakan kedudukan Presiden demi kepentingan politik individu tertentu atau akibat kegagalan membaca “isyarat” daripada rakan komponen Perikatan Nasional (PN) yang mahukan pembaharuan dalam kepimpinan.

“Perjuangan kita di dalam Bersatu adalah perjuangan parti, bukan perjuangan batang tubuh seseorang. Sepatutnya PAT kali ini digunakan untuk menunjukkan kesungguhan kita mahu mentadbir negara dan membawa tawaran terbaik kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menekankan peranan Ketua-Ketua Bahagian sebagai benteng parti yang dekat dengan ahli dan masyarakat, sambil menyeru agar sumbangan mereka dihargai serta institusi Ketua Bahagian terus dihormati.

“Jika PAT dipergunakan sebagai platform mengejar cita-cita peribadi, maka Bersatu akan malu kepada rakyat. Rakyat mahu kita fokus berikan penyelesaian kepada mereka, bukan tergila-gila mengejar jawatan, pangkat dan takhta,” ujarnya.

Terdahulu, beberapa Ketua Bahagian Bersatu mengingatkan agar mana-mana pihak tidak menggunakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kali ke-8 ini sebagai platform untuk membuat usul yang tidak memberi faedah kepada parti.

Sebelum ini, Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi mengingatkan ahli untuk tidak meneruskan provokasi membabitkan calon perdana menteri dari Perikatan Nasional (PN) ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti, hujung minggu hadapan, kata seorang ketua bahagiannya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Bersatu Gopeng, Ahmad Ishak, mengingatkan kepimpinan parti agar memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan jentera pilihan raya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dan bukannya terlalu awal membincangkan soal calon perdana menteri.

Parti Bersatu dijangka mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) pada 6-7 September ini di Shah Alam. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share