Bersatu Dikuasai Pemimpin Tiada Moral, Maruah, Dakwa Bekas Ketua Bahagian

KUALA LUMPUR, 24 Okt 25 – Bersatu kini tidak lagi milik rakyat, seperti asas penubuhannya dahulu sebaliknya dikuasai sekumpulan kecil pemimpin tanpa moral dan maruah perjuangan, kata bekas ketua bahagian.

Mohd Isa Mohd Saidi yang mengetuai Bersatu Ampang sebelum dipecat mendakwa, tiba masanya ahli bangkit menolak pemimpin sedemikian dan mengembalikan perjuangan Bersatu ke landasan asalnya.

“Ahli yang menegur disingkir, manakala mereka yang menyeleweng hala tuju parti terus dilindungi,” katanya, seperti dilapor MalaysiaGazzett.

Isa mendakwa, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berdepan krisis keyakinan terbesar sejak mengetuai parti tersebut dengan kegagalannya bukan lagi mengurus persepsi, tetapi realiti politik yang sedang melemahkan parti dari dalam.

Tambahnya, ahli Parlimen Pagoh itu  gagal mengurus perbezaan pandangan, memilih untuk berdiam diri ketika berlaku perpecahan dan menggunakan Lembaga Disiplin sebagai alat menutup suara pembaharuan.

“Lebih mengecewakan, beliau melindungi individu bermasalah moral dan integriti dengan melantik mereka sebagai penasihat utama.

“Golongan ini kini menyusun langkah untuk menyingkirkan rakan seperjuangan yang tidak sehaluan dengan agenda mereka,” dakwanya.

Memburukkan keadaan, Isa mendakwa, kepimpinan Muhyiddin juga menjadi liabiliti kepada Perikatan Nasional (PN) kerana sebagai pengerusi beliau gagal memimpin dengan semangat penyatuan.

Buktinya, selepas tamat Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu dan Muktamar PAS, tiada mesyuarat rasmi gabungan pembangkang itu, kerana Muhyiddin mengelak rundingan dengan PAS dalam isu calon perdana menteri serta pelantikan unilateral tanpa persetujuan komponen.

Sebaliknya, Muhyiddin pula memilih untuk menubuhkan gabungan longgar dikenali sebagai Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), platform baharu yang menurut Isa jelas bermotif politik peribadi bagi menghidupkan kembali cita-citanya menjadi perdana menteri.

“IPR bukan gerakan rakyat, tetapi alat politik Muhyiddin untuk mengumpul sokongan dan menggagalkan PN dari dalam.

“Saya menyeru seluruh ahli dan kepimpinan akar umbi menolak kepimpinan Muhyiddin, bukan kerana menolak penyatuan, tetapi kerana penyatuan itu kini telah dijadikan alat untuk memenuhi cita-cita peribadi.

“Rakyat memerlukan pembangkang yang berintegriti, bukan yang memperalat parti untuk menyelamatkan diri sendiri,” tegasnya. @sumber

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share