
KUALA LUMPUR, 3 Nov 25 — Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan meledakkan satu lagi kontroversi dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) apabila mendakwa Lembaga Disiplin parti telah menjadi “alat politik” untuk mensasarkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Dalam satu kenyataan media yang disertakan dengan rakaman penuh sesi perjumpaan bersama Lembaga Disiplin pada 8 Oktober lalu, Wan Saiful menegaskan proses terhadapnya bukan sahaja berat sebelah, malah telah diputuskan lebih awal atas “arahan individu tertentu.”
“Saya diberi masa hingga 15 Oktober untuk menjawab, tapi surat pemecatan dihantar pada 13 Oktober. Ini bukti keputusan sudah dibuat sebelum saya sempat membela diri,” katanya.
Rakaman berdurasi lebih 30 minit itu turut memaparkan perbualan panas antara Wan Saiful dan ahli panel disiplin yang diketuai Dato’ Radzi Manan, yang didakwa membuat kenyataan mengaitkan Datuk Seri Hamzah Zainudin dan perancangan politik dalaman parti.
Antara petikan yang didedahkan:
“You must have your master,” kata Radzi dalam sesi tersebut, sebelum menambah, “Now I am doing it, I have the President to respect.”
Lebih mengejutkan, Radzi turut disebut menyebut nama Hamzah secara langsung dengan berkata:
“I called Hamzah… I nampak dia nak jadi PM… Dia dah ada persefahaman dengan PAS.”
Menurut Wan Saiful, kenyataan-kenyataan itu membuktikan panel disiplin tidak lagi bebas dan telah dipengaruhi oleh sentimen serta arahan pihak tertentu.
“Proses sepatutnya menilai aduan terhadap saya, tapi yang berlaku ialah serangan terhadap Timbalan Presiden parti. Ini jelas konflik kepentingan dan penyalahgunaan kuasa,” ujarnya.
Beliau mendesak agar Lembaga Disiplin BERSATU dibubarkan serta-merta, dan semua keputusannya dibatalkan kerana hilang kredibiliti dan integriti.
“Lembaga Disiplin bukan lagi badan keadilan dalaman, tetapi senjata politik untuk memenuhi agenda segelintir pemimpin,” tegasnya.
Rakaman sesi tersebut kini sedang tular di media sosial selepas dikongsikan oleh Wan Saiful sendiri, mencetuskan persoalan besar tentang ketelusan dan integriti dalaman BERSATU. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.