
KUALA LUMPUR | 7 Januari 2025 — Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin (Che’gubard), hari ini mendedahkan dakwaan transaksi kewangan berskala besar yang dikaitkan dengan akaun seorang bekas Panglima Tentera Darat, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai sumber dana tersebut.
Dalam pendedahan yang dibuat melalui platform Ops Sun Tzu, Che’gubard mendakwa akaun bekas panglima berkenaan menerima deposit berulang antara RM50,000 hingga RM500,000, yang disalurkan melalui seorang individu berpangkat Leftenan Kolonel, dipercayai kakitangan bawahannya sendiri. Beliau menegaskan corak transaksi itu menimbulkan tanda tanya besar memandangkan status penerima sebagai penjawat awam.
“Secara logiknya, penjawat awam tidak mempunyai sumber pendapatan untuk transaksi sebesar ini secara berulang, kecuali daripada sumber yang tidak sah,” katanya.
Che’gubard memaklumkan bahawa beliau telah membuat laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), serta menyerahkan dokumen dan maklumat sokongan berkaitan kes itu.
Beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan menyeluruh dan bebas, termasuk memeriksa transaksi kewangan melalui Bank Negara Malaysia, memanggil bekas Panglima Tentera Darat untuk memberi keterangan mengenai sumber dana, dan menyiasat syarikat-syarikat yang menerima tender berkaitan Tentera Darat sepanjang tempoh perkhidmatan individu berkenaan.
Dalam pada itu, Che’gubard mempertikaikan laporan mengenai keadaan kesihatan bekas panglima itu yang didakwa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Berdasarkan maklumat yang diterimanya, individu terbabit hanya berada di bilik wad VVIP, dan beliau menuntut supaya Ketua Pengarah Hospital Angkatan Tentera mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai status kesihatan sebenar.
Che’gubard juga menegaskan bahawa SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertindak secara proaktif, telus, dan tanpa pilih kasih, sambil menekankan bahawa rakyat sedang memerhati setiap tindakan badan penguatkuasa.
Beliau turut menyoal apakah hubungan peribadi tertentu, termasuk dakwaan bermain golf dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, boleh menyebabkan individu terbabit dilindungi daripada siasatan.
Sehubungan itu, Che’gubard menyeru Kementerian Pertahanan (MINDEF) menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman bagi meneliti dakwaan tersebut secara menyeluruh, sambil memastikan bahawa kes-kes berprofil tinggi lain yang dikatakan ‘senyap’ turut diberi perhatian sewajarnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.