
KUALA LUMPUR | 13 Jan 26 — Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali menegaskan bahawa jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak semestinya diikat kepada Presiden parti, sebaliknya lebih wajar disandang oleh Ketua Pembangkang demi kejelasan kepimpinan dan keberkesanan gabungan itu.
Menurut beliau, polemik yang cuba mewajibkan Pengerusi PN mestilah Presiden parti-parti komponen disifatkan sebagai tidak konsisten dan berunsur menghalang, khususnya selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.
Syed Hassan berkata, sebelum ini PN tidak pernah berdepan masalah apabila Ketua Pembangkang bukan dalam kalangan Presiden parti, namun naratif berkenaan tiba-tiba dibangkitkan apabila wujud cadangan tertentu untuk jawatan Pengerusi PN yang baharu.
“Jika Presiden Bersatu sendiri meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN atas sebab tertentu, maka wajar pimpinan tertinggi di bawah Presiden dipertimbangkan untuk menerajui PN, selagi mendapat sokongan semua parti dalam gabungan,” katanya dalam satu kenyataan, hari.
Kenyataan beliau mengulas mengenai pendedahan bahawa terdapat perbincangan hangat dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU malam tadi, yang menyentuh cadangan agar calon Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu, mestilah dikalangan Presiden parti.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menyatakan sokongan terbuka terhadap Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai calon Pengerusi PN, dengan menegaskan kewibawaannya telah terbukti apabila berjaya memimpin semua Ahli Parlimen PN sebagai Ketua Pembangkang, termasuk Presiden-presiden parti dalam gabungan itu.
“Ketua Pembangkang merangkap Pengerusi PN adalah susunan yang amat tepat. Ia memudahkan urusan, memperkemas kepimpinan dan menguatkan kerjasama antara PN dengan NGO-NGO Melayu Islam,” ujarnya.
Menurut Syed Hassan, pelantikan Ketua Pembangkang sebagai Pengerusi PN juga mampu mengelakkan pertindihan kuasa serta kekeliruan dalam kalangan rakyat, khususnya pengundi atas pagar, mengenai siapa sebenarnya mengetuai blok pembangkang di Parlimen.
Beliau menambah, PERKASA percaya parti-parti komponen PN termasuk PAS tidak mempunyai halangan untuk menerima kepimpinan sedemikian, malah ia akan memperkukuh kesatuan pembangkang dalam usaha mencabar kerajaan sedia ada.
Tegasnya, sebarang cubaan menghalang calon yang berwibawa atas alasan teknikal atau tafsiran sempit struktur parti hanya akan melemahkan PN dan menjejaskan keyakinan penyokong terhadap gabungan itu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.