
KUALA LUMPUR, 15 Jan — Penangguhan prosiding Lembaga Disiplin (LD) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dijadualkan berlangsung hari semalam didakwa membuktikan kegagalan serius serta pengkhianatan terhadap keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, sekali gus mengukuhkan dakwaan wujudnya masalah tadbir urus, keadilan prosedur dan tindakan disiplin bersifat selektif dalam parti itu.
Ahli Parlimen Gerik, YB Fathul Huzir Ayob, berkata beliau dimaklumkan oleh LD bahawa prosiding berkenaan telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, namun perkembangan itu menimbulkan persoalan besar terhadap keupayaan institusi disiplin parti melaksanakan keputusan yang telah dibuat oleh kepimpinan tertinggi BERSATU.
Menurut beliau, penangguhan tersebut mencerminkan kegagalan LD mematuhi keputusan MPT sebelum ini, termasuk cadangan untuk mencari jalan perdamaian serta penambahbaikan terhadap pengurusan Lembaga Disiplin.
“Keputusan MPT bukan sahaja gagal dilaksanakan, malah seolah-olah telah dikhianati,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Fathul Huzir turut mendakwa sepanjang keseluruhan proses tersebut, pengendalian kes oleh LD memperlihatkan kelemahan serius dari sudut prosedur dan merit kes. Dari aspek prosedur, beliau mendakwa wujud pelanggaran prinsip keadilan semula jadi, konflik kepentingan dalam kalangan ahli jawatankuasa LD serta kegagalan menyediakan perbicaraan yang adil kepada individu terlibat.
Dari sudut merit pula, beliau mendakwa pertuduhan yang dikenakan tidak berpunca daripada pelanggaran peraturan atau prinsip parti, sebaliknya lebih bersifat politik dalaman, termasuk dakwaan menyinggung Presiden atau kelompok tertentu dalam parti.
“Lebih membimbangkan, tindakan serupa oleh individu lain dibiarkan tanpa sebarang tindakan disiplin, sekali gus memperlihatkan amalan pilih kasih,” katanya.
Beliau juga berpendapat hak kebebasan asasi sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan telah diketepikan dalam penilaian dan pengendalian kes-kes disiplin berkenaan.
Mengulas keputusan MPT, Fathul Huzir berkata mesyuarat pada 4 November 2025 dan 10 Disember 2025 telah mencadangkan usaha perdamaian serta penambahbaikan terhadap pengurusan LD, namun tindakan pemecatan dan penggantungan masih diteruskan walaupun cadangan tersebut telah dikemukakan.
Beliau turut merujuk keputusan terbaharu MPT pada 12 Januari 2026 yang memutuskan supaya semua kes Lembaga Disiplin diberhentikan, yang menurutnya berkemungkinan menjadi punca kepada penangguhan prosiding pada hari ini.
Sehubungan itu, Fathul Huzir menegaskan bahawa tindakan LD bersifat selektif, tidak berteraskan kepentingan parti dan jelas tidak adil, sekali gus menjejaskan usaha untuk meredakan konflik dalaman BERSATU.
Beliau mendesak supaya semua kes disiplin terdahulu dibatalkan sepenuhnya sebagai langkah adil dan munasabah, selain menuntut pemulihan keahlian individu yang telah dipecat atau digantung.
“Individu-individu ini tidak pernah mengkhianati parti. Sokongan kepada mana-mana pimpinan selain Presiden tidak bercanggah dengan Perlembagaan atau peraturan parti,” katanya.
Kenyataan ini bagaimanapun mengundang persoalan apabila keputusan penangguhan prosing LD ini tidak diumumkan secara rasmi oleh Setiausaha Agung parti. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.