BERSATU Tubuh Jawatankuasa Pengukuhan Tangani Isu Dalaman Parti

KUALA LUMPUR | 15 Jan 26 — Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebelum ini telah memutuskan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengurus dan meredakan perbezaan pandangan dalam kalangan ahli parti, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kestabilan serta kesepaduan dalaman parti.

Menurut sumber parti, jawatankuasa berkenaan dinamakan Jawatankuasa Pengukuhan Parti BERSATU dan diberi mandat khusus untuk mengendalikan isu-isu perbezaan pendapat, salah faham serta ketegangan dalaman secara berstruktur dan berhemah, selaras dengan semangat perdamaian yang dipersetujui kepimpinan tertinggi parti.

Bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais bin Yatim, telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengukuhan Parti BERSATU, dibantu oleh beberapa ahli jawatankuasa yang turut dilantik bagi memastikan fungsi jawatankuasa itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan. Difahamkan antara yang dilantik adalah Tan Sri Noh Omar, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Datuk Seri Khir Toyo.

Penubuhan jawatankuasa tersebut mencerminkan komitmen MPT untuk menangani perbezaan pandangan secara dalaman tanpa menjejaskan imej parti, selain mengelakkan konflik terbuka yang boleh melemahkan kepercayaan ahli serta sokongan rakyat terhadap BERSATU.

Difahamkan, antara peranan utama jawatankuasa itu ialah merangka kaedah terbaik untuk mengurangkan ketegangan dalaman, memupuk budaya dialog dan mengelakkan serangan sesama sendiri dalam kalangan ahli parti, khususnya ketika parti berdepan cabaran politik semasa.

Langkah itu juga dilihat sebagai pendekatan strategik bagi memastikan sebarang pertikaian diselesaikan melalui saluran institusi parti, sejajar dengan prinsip disiplin dan perpaduan yang menjadi asas perjuangan BERSATU.

Walau bagaimanapun, usaha ini dipertikaikan oleh beberapa pihak kerana dalam usaha ini dijalankan, pemecatan ahli terus berlaku dan ini menimbulkan persoalan mengenai kesungguhan pimpinan untuk melaksanakan perdamaian dan penyatuan parti. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share