
KUALA LUMPUR | 30 Jan 26 — Sekumpulan bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendakwa tindakan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung isu pemansuhan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebagai tidak beretika dan bersifat membuat dakwaan palsu, sekali gus menggesa aduan disiplin rasmi dibuat terhadap beliau.
Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh lima bekas Ketua Bahagian BERSATU, iaitu Datuk Suhaimi Mohd Ghazali (Sepang), Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Shukor Mustaffa (Puchong), Hj Isa Saidi (Ampang) dan Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya).
Menerusi kenyataan tersebut, mereka merujuk kepada percanggahan antara dakwaan Muhyiddin mengenai persetujuan PAS dan BERSATU berkaitan jawatan Pengerusi PN dengan penafian terbuka oleh pimpinan PAS, yang menurut mereka membuktikan bahawa persetujuan tersebut tidak pernah dimuktamadkan.
Kenyataan itu turut menyeru semua Ketua Bahagian dan Ketua Cawangan BERSATU di seluruh negara supaya mengemukakan aduan rasmi kepada Lembaga Disiplin parti berhubung salah laku Presiden.
“Kami dengan ini menyeru semua ketua-ketua bahagian BERSATU serta semua Ketua-ketua Cawangan BERSATU, di seluruh Malaysia untuk membuat aduan rasmi ke Lembaga Disiplin parti berhubung salah laku Tan Sri Presiden. Kata kenyataan tersebut.
Menurut mereka, aduan disiplin tersebut wajar dibuat berdasarkan tiga perkara utama.
Pertama, Muhyiddin didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Presiden untuk menggambarkan seolah-olah wujud kesepakatan antara PAS dan BERSATU, sedangkan dakwaan itu telah disangkal secara terbuka oleh PAS, sekali gus menimbulkan persoalan serius terhadap ketepatan dan kejujuran kenyataan Presiden.
Kedua, Presiden didakwa bertindak mendahului dan melangkaui keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), yang secara tidak langsung menafikan peranan kepimpinan kolektif serta prinsip tadbir urus parti.
Ketiga, mereka mendakwa Muhyiddin telah bercakap bagi pihak parti dan gabungan tanpa mandat rasmi daripada MPT BERSATU, satu tindakan yang bukan sahaja dipersoalkan oleh rakan gabungan, malah bercanggah dengan peraturan dan Perlembagaan parti sendiri.
“Dengan bersandarkan hujah-hujah ini, laporan disiplin harus dibuat dengan segera agar integriti parti dapat dipelihara dan dipulihara,” menurut kenyataan itu.
Mereka menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab semua pimpinan peringkat bahagian dan cawangan untuk menjaga amanah parti melebihi kepentingan individu, demi memastikan disiplin dan integriti BERSATU terus terpelihara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.