“Muhyiddin Sudah Tiada Sokongan Dalam BERSATU” – Kata MP

KUALA LUMPUR | 31 Jan 26 — Tan Sri Muhyiddin Yassin kini dianggap punca utama ketegangan dalam Perikatan Nasional (PN) apabila sokongan akar umbi BERSATU serta kepimpinan parti sendiri semakin hilang, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan, Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Dalam kenyataannya, Wan Saiful menegaskan Muhyiddin bersama “kelompok kecil penjilat” yang bergantung talian hayat kepadanya sedang merosakkan hubungan PN, walaupun majoriti akar umbi mahu ukhuwah antara PAS dan BERSATU kekal utuh dan murni.

“Usaha mensabotaj ukhuwah dan memecah kesatuan oleh Muhyiddin tidak membayangkan sikap majoriti lebih besar yang mahu hubungan PAS-BERSATU diperkukuhkan,” kata beliau.

Beliau menambah, tekanan dalam BERSATU untuk Muhyiddin melepaskan jawatan Presiden semakin kedengaran. Malah, majoriti pemimpin dipilih akar umbi, termasuk Ketua-Ketua Bahagian di Sabah, Perak, dan Johor, menolak Muhyiddin, termasuk di negeri sendiri, Johor.

“Muhyiddin sudah tiada sokongan dalam BERSATU. Yang menjawab bagi pihaknya hanyalah pegawai yang pernah dibayar gaji dan pemegang jawatan parti yang dia lantik,” katanya.

Wan Saiful turut mengkritik sikap Muhyiddin yang menghalang pelantikan calon alternatif, termasuk Dato Seri Hamzah Zainudin, sebagai pengganti Pengerusi PN. Menurut beliau, tindakan itu bukan sahaja menyusahkan gabungan, tetapi turut menimbulkan persepsi negatif di kalangan ahli dan rakyat.

“Jika Muhyiddin mahu permudahkan, terima sajalah sesiapa yang dicalonkan oleh PAS. Tetapi beliau sengaja menyusahkan dengan meletakkan syarat jawatan mesti Presiden parti,” katanya.

Beliau menekankan bahawa pemimpin yang baik harus membentuk, mengangkat, dan menyokong saf pelapis, bukan mempertahankan diri dan kuasa sendiri. Dalam konteks ini, Muhyiddin digambarkan gagal memenuhi standard kepimpinan itu.

“Pemimpin yang berhempas pulas menjaga parti, bukan merosakkan gabungan demi kepentingan diri sendiri. Sikap tergila-gila jawatan ini yang menimbulkan tanggapan negatif terhadap beliau,” kata Wan Saiful.

Walaupun mengiktiraf jasa besar Muhyiddin sebelum ini, Wan Saiful menegaskan pandangannya hanya spesifik kepada isu krisis kepimpinan hari ini yang memerlukan penyelesaian segera demi kestabilan PN dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Kemelut dalaman BERSATU dilihat semakin memuncak khususnya selepas dakwaan Muhyiddin bahawa PAS telah bersetuju untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN, yang dinafikan dengan keras oleh PAS. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share