Sultan Selangor Tak Perkenan Ladang Babi, Cadang Lesen Import Sebagai Penyelesaian

SHAH ALAM | 10 Feb 26 — Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa Baginda tidak memperkenankan penternakan atau ladang babi dijalankan di mana-mana kawasan di Negeri Selangor, sebaliknya mencadangkan pemberian lesen pengimportan daging babi sebagai penyelesaian tuntas kepada isu yang berlarutan sejak sekian lama.

Menerusi satu kenyataan akhbar Istana Selangor hari ini, pendirian tersebut dinyatakan susulan kenyataan Perdana Menteri pada 23 Januari lalu yang mencadangkan agar projek penternakan babi berskala besar di Bukit Tagar, Hulu Selangor dibatalkan, serta perbincangan lanjut ketika sesi menghadap pada 8 Februari lalu.

Menurut kenyataan itu, Baginda berpandangan bahawa penternakan babi berpotensi menyebabkan pencemaran udara melalui bau busuk, selain mencemarkan sungai dan sumber air akibat pelepasan najis serta sisa kumbahan, sekali gus memberi kesan kepada bekalan air bersih di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sebagai contoh, cadangan ladang babi di Bukit Tagar yang terletak berhampiran kawasan penempatan orang Melayu dan Felda telah menimbulkan bantahan penduduk setempat serta kebimbangan terhadap keselamatan kawasan tadahan air dan sungai utama.

Baginda turut menegaskan bahawa walaupun penternakan moden dikatakan mampu mengurangkan pencemaran, kaedah tersebut memerlukan kos yang tinggi dan masih tidak dapat menjamin sepenuhnya risiko pencemaran, khususnya di kawasan sensitif seperti tadahan air.

Selain itu, Baginda berpandangan penternakan babi, sama ada berskala besar atau kecil, tidak sesuai dilaksanakan di Selangor berikutan keterbatasan sumber tanah serta nilai hartanah yang tinggi, yang seharusnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan dan kegunaan awam yang lebih memberi pulangan ekonomi kepada rakyat.

Sehubungan itu, Sultan Selangor mencadangkan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan pemberian lesen pengimportan daging babi bagi menampung permintaan dan keperluan masyarakat bukan Islam, khususnya kaum Cina di negeri ini, tanpa menjejaskan alam sekitar serta keharmonian masyarakat.

Baginda menegaskan bahawa isu ladang babi wajar dihentikan dan dimuktamadkan, kerana ia berpotensi menimbulkan keresahan berpanjangan serta mengganggu keselamatan dan keharmonian awam, sambil menyeru semua pihak menghormati titah Baginda dan bersama-sama memelihara perpaduan di Negeri Selangor. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share