Saifuddin Seru Ahli Sertai “Reset” Bersama Hamzah

KUALA LUMPUR | 20 Feb 26 – Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyeru ahli dan penyokong agar menyertai gerakan “Reset” bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin bagi membina Malaysia yang lebih baik.

Dalam satu kenyataan hari ini, seruan tersebut dibuat susulan perhimpunan yang diadakan di Kuala Lumpur pada 14 Februari lalu, sehari selepas Hamzah dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Saifuddin mendakwa perhimpunan itu dihadiri lebih 700 peserta terdiri daripada ahli dan bekas ahli parti, NGO Melayu serta penyokong, selain kehadiran wakil daripada 118 daripada 168 bahagian parti dan 19 daripada 25 Ahli Parlimen.

Dalam kenyataannya, Saifuddin memetik ucapan Hamzah yang menegaskan beliau tidak mahu menjadi pemimpin “di atas”, sebaliknya mahu bergerak bersama sahabat di peringkat akar umbi.

Saifuddin turut mempertahankan langkah Hamzah menawarkan diri memimpin gerakan tersebut dengan merujuk kepada hadis Nabi Muhammad SAW mengenai larangan meminta jawatan, serta kisah Nabi Yusuf AS yang menawarkan diri mengurus perbendaharaan negara dalam keadaan krisis demi kemaslahatan rakyat.

Menurutnya, tawaran itu bukan langkah kelangsungan politik semata-mata, sebaliknya satu langkah strategik untuk membentuk konfigurasi politik lebih matang dan stabil, termasuk pembinaan “Konsensus Nasional Baharu” yang merangkumi pembaikan institusi, sistem dan undang-undang.

Beliau menggambarkan gerakan itu sebagai usaha meninggalkan “rumah lama yang reput” kepada “rumah baharu yang lebih kukuh”, sambil menegaskan bahawa “reset” merupakan satu seruan dan gerakan yang perlu disahut.

Saifuddin yang juga Ketua Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional secara terbuka mengajak semua pihak menyertai gerakan tersebut.

Sejak pemecatan Hamzah, lebih 30 bahagian mengumumkan pembubaran bahagian masing-masing termasuk sayap. Ribuan yang lain mengumumkan meninggalkan BERSATU. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share