
KUALA LUMPUR | 22 Feb 26 – “Sudah diberi lampu, masih memilih gelap.” Sindiran keras itu dilontarkan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal terhadap Radzi Jidin dalam kenyataan terbaru yang dimuat naik di facebook beliau, hari ini.
Wan Fayhsal mendakwa jurang kepercayaan antara BERSATU dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bukan isu baharu, sebaliknya telah lama membara sebelum ia timbul ke permukaan.
Beliau mendakwa Radzi mengetahui punca sebenar ketegangan itu, termasuk isu pelantikan jawatan strategik dalam Perikatan Nasional (PN), namun tetap memilih pendirian yang dianggap tidak selari dengan kelompok yang kini menyokong gerakan “RESET” dikaitkan dengan Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin.
“Beliau mendengar sendiri daripada kepimpinan tertinggi PAS dan DS Hamzah tentang bukti kewujudan “Kuda Trojan” dalam BERSATU dan PN. Namun tetap memilih kelompok yang membawa mudarat kepada perjuangan Melayu-Islam dan PN.
“Ini bukan lagi soal tersalah langkah, tetapi seperti kata orang tua: sudah diberi lampu, masih memilih berjalan dalam gelap. Kata Wan Fayhsal.
MP Machang itu turut mempersoalkan keputusan Radzi yang didakwa cuba “bermain di semua kolam”, satu ungkapan yang membawa maksud enggan menyatakan pendirian tegas dalam perebutan pengaruh parti.
Beliau juga mengaitkan sokongan 19 Ahli Parlimen terhadap gerakan perubahan sebagai isyarat politik yang jelas, dan mempersoalkan kegagalan Radzi membaca mesej tersebut.
“Takkan Radzi tidak dapat menilai mengapa sehingga 19 Ahli Parlimen sanggup berpatah arang, berkerat rotan menyokong “RESET” DS Hamzah — seorang yang saban tahun diuji dan dizalimi?
“Kalau itu pun tidak mampu dibaca sebagai isyarat politik, maka persoalannya bukan lagi maklumat yang kurang, tetapi keberanian membuat keputusan. Katanya.
Radzi digambarkan sebagai mempunyai akses luas kepada pimpinan tertinggi, namun didakwa tersilap membuat pertimbangan apabila tiba masa memilih antara kepentingan parti dan percaturan dalaman.
“Ironinya, seorang profesor akauntan yang sepatutnya mahir kira untung rugi politik, tetapi akhirnya membuat kiraan yang songsang — ibarat menghitung laba tetapi tersalah jumlah, lalu rugi di hujung kira. Tambahnya.
Wan Fayhsal turut mengingatkan Radzi bahawa hanya segelintir bersama dengan Muhyiddin Yassin manakala selebihnya istiqamah bersama Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin dan PAS.
“Hakikatnya, hanya segelintir bersama Pagoh. Selebihnya istiqamah bersama Larut dan PAS untuk memastikan agenda asal PN tidak tersasar. Katanya.
Kenyataan ini menjadi isyarat jelas bahawa pergeseran dalam BERSATU sudah masuk ke fasa secara terbuka, selepas pemecatan Timbalan Presiden, minggu lalu.
Dengan situasi ini, persoalan utama bukan lagi sama ada wujud pergeseran dalam parti — tetapi sejauh mana ia akan menggugat struktur kepimpinan PN sedia ada. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.