Gagal Undin RUU : “Jangan Salahkan Pembangkang”, Kata Hamzah

PARLIMEN | 3 Mac 26 – Ketua Pembangkang, Dato Seri Hamzah Zainudin, menegaskan pembangkang tidak menolak rang undang-undang (RUU) yang gagal diluluskan semalam, sebaliknya mengambil pendirian berkecuali kerana cadangan mereka tidak dipertimbangkan.

Menurut beliau, semua ahli Parlimen pembangkang telah menyatakan persetujuan bersyarat dalam perbahasan, namun apabila syarat tersebut tidak diambil kira, mereka memilih untuk tidak mengundi.

“Kalau syarat itu tidak diambil kira, maka bermakna bukan kita tolak, kita abstain (berkecuali). Semua kita ini tidak mengundi. Ada yang keluar daripada Dewan, ada yang tidak mengundi,” katanya.

Hamzah dalam sidang media hari ini, mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang menyalahkan pembangkang atas kegagalan RUU tersebut, sambil menegaskan isu sebenar terletak pada blok kerajaan sendiri.

“Yang jadi masalahnya adalah ahli parlimen kerajaan yang tidak mengundi. Yang itu yang patut disalahkan,” ujarnya.

Beliau menekankan bahawa kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan usul yang dibawa dan memastikan jumlah sokongan mencukupi, khususnya apabila melibatkan keperluan majoriti dua pertiga.

“Kerajaan mempunyai duty untuk mempertahankan usul mereka. Bukan nak menyalahkan pembangkang yang abstain (berkecuali)” katanya lagi.

Dalam nada sinis, Hamzah turut menyentuh soal pengurusan kehadiran ahli Parlimen kerajaan. Katanya, jika kerajaan serius mahu memastikan kelulusan dua pertiga, setiap ahli perlu dipastikan hadir dan bersedia mengundi.

“Saya nak mengajar sikit kerajaan… Kalau nak buat undang-undang yang nak memastikan bahawa mesti ada dua pertiga daripada jumlah datang mengundi, kena panggil seorang-seorang ahli kerajaan,” katanya.

Beliau menggambarkan keperluan menyemak satu persatu kehadiran ahli  termasuk yang sakit atau terperangkap dalam kesesakan jalan raya, serta melanjutkan masa jika perlu bagi memastikan jumlah mencukupi.

Hamzah turut menegur kenyataan berbaur angkuh yang menurutnya tidak membantu suasana perbahasan sihat.

“Kadang-kadang keangkuhan itu menyebabkan kita kalah,” katanya sambil mengingatkan bahawa kemenangan bukan sesuatu yang boleh dianggap mutlak.

Beliau turut menegaskan pembangkang bukan bertindak untuk menggagalkan usaha kerajaan, sebaliknya bersedia menyokong sekiranya sesuatu cadangan itu benar-benar baik untuk negara.

“Pembangkang adalah satu-satunya kumpulan yang bersedia menyokong kalau perkara itu baik, bersedia bersama kalau boleh menentukan sesuatu yang lebih baik untuk negara,” katanya.

Kenyataan itu sekali gus menolak dakwaan bahawa kegagalan RUU berkenaan berpunca daripada tindakan pembangkang, sebaliknya membingkaikan isu sebagai kelemahan pengurusan undi di pihak kerajaan sendiri. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share