
KUALA LUMPUR | 7 Mac 26 – Pengerusi Perikatan Nasional, Datuk Seri Ir Ahmad Samsuri Mokhtar, menafikan dakwaan bahawa beliau terlibat dalam sebarang pertemuan di Bangkok yang dikaitkan dengan spekulasi politik dikenali sebagai “Langkah Bangkok”.
Dalam satu kenyataan di facebook, beliau menjelaskan bahawa dirinya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pertemuan yang didakwa berlaku seperti yang dilaporkan oleh beberapa pihak.
Menurut beliau, sebarang perbincangan atau pertemuan yang dirujuk oleh sesetengah pihak berhubung perkara tersebut tidak melibatkan dirinya sama sekali.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak terlibat dalam apa jua pertemuan di Bangkok yang dirujuk oleh setengah pihak sebagai ‘Langkah Bangkok’ seperti yang dilaporkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa segala dakwaan yang mengaitkan namanya dengan pertemuan berkenaan adalah tidak berasas dan tidak benar.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak menghentikan spekulasi yang mengaitkan dirinya dengan perkara yang tidak berlaku.
“Saya berharap semua pihak tidak membuat spekulasi atau mengaitkan nama saya dengan perkara yang tidak berlaku,” katanya lagi.
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan tularnya dakwaan mengenai kewujudan satu pertemuan politik di Bangkok yang didakwa melibatkan beberapa tokoh politik pembangkang.
Berita Harian melaporkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan bertemu Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, tahun lalu bagi membincangkan isu penyatuan Melayu dan Islam.
Sumber parti itu memaklumkan, selain Hamzah, Ahmad Zahid turut mengadakan pertemuan dengan Ahmad Samsuri dan Timbalan Setiausaha Agung PN merangkap Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.