
KUALA LUMPUR | 8 Mac – Penerbangan pertama bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Qatar dijangka bermula seawal Isnin atau Selasa, kata Duta Besar Malaysia ke Qatar, Mohd Faizal Razali.
Beliau berkata setakat ini seramai 323 rakyat Malaysia di Qatar telah mendaftar untuk menyertai usaha membawa pulang secara sukarela yang diselaraskan kerajaan Malaysia susulan ketegangan keselamatan di rantau Asia Barat.
Memetik laporan BERNAMA, Mohd Faizal berkata, rakyat Malaysia yang berminat masih boleh mendaftar sebelum senarai akhir peserta dimuktamadkan oleh pihak kedutaan.
Kedutaan Besar Malaysia di Doha kini bekerjasama dengan Persatuan Malaysia di Qatar serta beberapa penyelaras komuniti bagi menguruskan logistik operasi pemindahan tersebut.
Rancangan membawa pulang rakyat Malaysia itu melibatkan perjalanan darat dari Doha ke sempadan Abu Samra Border Crossing, sebelum peserta meneruskan perjalanan memasuki Arab Saudi melalui sempadan Salwa Border Crossing dan menuju ke Riyadh. Perjalanan tersebut dianggarkan mengambil masa kira-kira 12 jam termasuk proses imigresen di sempadan.
Kerajaan Malaysia pada masa sama sedang berusaha mendapatkan penerbangan khas dari Riyadh ke Kuala Lumpur bagi memudahkan proses membawa pulang rakyat Malaysia yang terlibat.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang menyertai operasi tersebut dibenarkan membawa pasangan termasuk pasangan bukan warganegara serta pembantu rumah dari negara ASEAN. Mereka juga dinasihatkan memastikan pasport masih sah sekurang-kurangnya enam bulan, mendapatkan e-visa Arab Saudi serta menyelesaikan urusan tertunggak di Qatar sebelum berlepas bagi mengelakkan sebarang komplikasi di pintu masuk sempadan.
Operasi membawa pulang ini dijalankan secara sukarela dan rakyat Malaysia di Qatar digalakkan mengambil peluang tersebut kerana operasi serupa mungkin tidak diadakan lagi selepas ini. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.