
KUALA LUMPUR | 11 Mac 26 – Gerakan Advokasi Rakyat Anti Pencerobohan Haram (GARAH) mengecam beberapa insiden serangan fizikal dan perbuatan khianat yang menyasarkan individu terlibat dalam usaha menegakkan kedaulatan undang-undang berkaitan pencerobohan tanah dan struktur rumah anutan haram.
Dalam satu kenyataan, Ketua Sementara GARAH, Haniff Khatri, berkata pihaknya amat kesal dengan insiden serangan fizikal terhadap aktivis media sosial Zamri Vinoth pada 7 Mac lalu, selain kejadian serangan terhadap kediaman dan kebakaran beberapa kenderaan milik seorang individu dikenali sebagai Cikgu Chandra pada 9 dan 10 Mac.
Menurut beliau, tindakan tersebut merupakan perbuatan jenayah yang tidak boleh diterima dan bercanggah dengan prinsip kedaulatan undang-undang yang diperjuangkan oleh gerakan tersebut.
“GARAH amat kesal dan dengan tegas mengecam beberapa insiden jenayah yang melibatkan serangan fizikal terhadap individu yang terlibat dalam aktiviti penegakan kedaulatan undang-undang berkaitan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata pihak GARAH telah menyalurkan maklumat berkaitan kepada Royal Malaysia Police bagi membantu mempercepatkan siasatan serta mengenal pasti individu yang terlibat dalam serangan tersebut.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan pihaknya sedang mengumpul maklumat tambahan untuk disalurkan kepada pihak berkuasa bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
Haniff turut mendakwa terdapat unsur hasutan dan ugutan terhadap individu terbabit di media sosial, termasuk kenyataan daripada beberapa pemimpin politik, antaranya Ahli Parlimen Jelutong R. S. N. Rayer.
Menurut beliau, semua maklumat berkaitan hasutan dan ugutan tersebut akan diserahkan kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan serta mengelakkan situasi yang boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
GARAH pada masa sama menegaskan bahawa gerakan itu tidak akan menghentikan usaha mereka dalam menegakkan kedaulatan undang-undang berkaitan pencerobohan tanah awam dan persendirian, termasuk pembinaan struktur rumah anutan tanpa kebenaran.
Dalam perkembangan berkaitan, GARAH turut menghulurkan jemputan kepada Rayer untuk mengadakan dialog secara aman bagi membincangkan isu berkaitan hak beragama serta persoalan pencerobohan tanah dan kewujudan rumah anutan tanpa kelulusan undang-undang.
Menurut Haniff, dialog tersebut diharapkan dapat membuka ruang perbincangan secara bertamadun demi mencari penyelesaian yang adil serta memelihara keharmonian masyarakat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.