
KUALA LUMPUR | 11 Mac 26 – Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, menyifatkan majlis iftar anjuran Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, malam tadi sebagai satu acara yang membawa “signal luar biasa” dalam landskap politik, apabila parti-parti baru dan bersekutu hadir menunjukkan keterbukaan dan kemesraan.
Antara parti yang hadir adalah Parti Pejuang Tanah Air dan Parti Keluarga Malaysia, selain MIC yang sebelum ini memohon keanggotaan, dan Berjasa yang telah menjadi parti bersekutu dalam Perikatan Nasional.
Menurut Saifuddin, walaupun majlis iftar itu bersifat santai dan biasa-biasa, kehadiran parti-parti ini memberi petanda penting tentang kesediaan untuk interaksi politik lebih luas, membuka ruang untuk dialog dan persefahaman antara parti.
“Ini iftar yang biasa-biasa, tetapi kehadiran mereka itu nampaknya memberi suatu signal yang agak luar biasa. Kata Saifuddin.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan mesra dan inklusif sebegini dapat membina landskap politik yang lebih harmonis, sekaligus memberi mesej bahawa kerjasama dan keterbukaan kini menjadi tumpuan utama pemimpin.
Baru-baru ini, lebih 1,000 tetamu dari seluruh negara menghadiri majlis iftar anjuran Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, yang berlangsung di Putrajaya.
Dalam ucapan di majlis tersebut, Hamzah berkata bulan Ramadan menjadi medan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat tanpa mengira perbezaan parti atau pandangan politik.
Menurut beliau, semangat kebersamaan dan ukhuwah yang terjalin sepanjang Ramadan wajar dipelihara demi memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.