BERSATU Sedang Dibentuk Menjadi ‘PKR 2.0’ – Mohd Isa

KUALA LUMPUR | 12 Mac 26 – Bekas Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Mohd Saidi, mendakwa kemasukan Azmin Ali ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia mempunyai matlamat jangka panjang untuk membawa masuk kelompok bekas ahli Parti Keadilan Rakyat, sekali gus menjadikan parti itu sebagai “PKR 2.0”.

Menurut beliau, strategi tersebut bermula dengan penubuhan gerakan seperti Pemuda Negara yang didakwa diwujudkan bagi bersaing dengan sayap pemuda parti, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), selain Pergerakan Komuniti Negara yang dikatakan bertujuan memperluaskan pengaruh di peringkat akar umbi.

“Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk ‘salin kulit’ struktur parti dengan membawa masuk kelompok baharu yang kebanyakannya mempunyai latar belakang PKR,” katanya kepada politiko.

Mohd Isa turut mendakwa ketika menjadi menteri kanan, Azmin bersama Zuraida Kamaruddin mempunyai akses kepada sumber kewangan besar bagi memperkukuh gerakan berkenaan, termasuk peruntukan khas yang menurutnya diberikan kepada Komuniti Negara bagi memperluaskan pengaruh politik.

Beliau bagaimanapun mendakwa usaha tersebut sebelum ini tidak berjaya sepenuhnya kerana wujud tentangan daripada kepimpinan parti di peringkat bahagian.

Dalam kenyataan sama, Mohd Isa mendakwa penyingkiran Hamzah Zainudin daripada kedudukan dalam parti membuka ruang kepada Azmin untuk memperkukuh pengaruhnya dalam Bersatu.

Katanya, perkembangan itu juga mencetuskan reaksi daripada sebahagian kepimpinan akar umbi yang didakwa setia kepada Hamzah.

“Lebih 60 bahagian dikatakan mengambil keputusan keluar mengikut beliau. Ini sesuatu yang jarang berlaku dalam sejarah politik negara apabila pemimpin yang dipecat diikuti oleh kepimpinan bahagian,” katanya.

Mohd Isa turut mendakwa beberapa individu yang sebelum ini keluar masuk parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 Malaysia kini dilantik sebagai ketua bahagian penaja Bersatu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share