
KUALA LUMPUR | 13 Mac 26 – Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Beluran mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden Muhyiddin Yassin sebelum mengambil keputusan meletakkan jawatan daripada semua posisi parti serta keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia dengan serta-merta.
Setiausaha Bahagian Beluran, Hamdan Tarawie berkata keputusan tersebut dibuat selepas kepimpinan bahagian melihat parti itu semakin menyimpang daripada matlamat asal perjuangannya.
Menurut beliau, parti yang diasaskan atas semangat memperjuangkan integriti politik serta membela kepentingan rakyat dan Bumiputera, khususnya di Sabah, kini dilihat semakin tertumpu kepada agenda peribadi untuk mengangkat presiden sebagai “poster boy” dan calon Perdana Menteri.
“Segala keputusan dan tindakan dalam parti dilihat berpaksikan kepentingan tersebut sehingga budaya perbezaan pandangan tidak lagi diraikan, malah dianggap sebagai ancaman kepada kepimpinan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan disiplin yang dikenakan terhadap beberapa pemimpin kanan parti termasuk Timbalan Presiden Hamzah Zainudin, selain tindakan terkini terhadap Ronald Kiandee dan Mas Ermieyati Samsudin.
Menurut Hamdan, tindakan tersebut memberi gambaran bahawa lembaga disiplin parti telah diperalatkan sebagai alat politik untuk menyingkirkan individu yang dilihat tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi.
“Amalan ini bukan sahaja menjejaskan prinsip keadilan dalam parti, malah menghakis kepercayaan ahli terhadap ketelusan dan integriti proses disiplin yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik,” katanya.
Tambah beliau, dalam keadaan parti yang dilihat semakin tertumpu kepada agenda politik dalaman, isu perjuangan rakyat Sabah khususnya Bumiputera di negeri itu didakwa semakin diketepikan.
Sehubungan itu, Hamdan memaklumkan kesemua AJK Bahagian Bersatu Beluran mengambil keputusan meletakkan jawatan daripada semua jawatan parti serta keluar daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
“Keputusan ini bukan mudah, namun ia diambil demi mempertahankan prinsip perjuangan dan maruah politik yang kami pegang selama ini,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.