
KUALA LUMPUR | 9 Apr 26 – Laporan media antarabangsa mendedahkan Iran sememangnya telah mengemukakan satu pelan damai kepada Amerika Syarikat, namun ia bukan perjanjian muktamad menamatkan perang, sebaliknya sekadar asas rundingan yang masih penuh pertikaian.
Menurut laporan The Guardian, Iran mengemukakan pelan 10 perkara yang digambarkan sebagai “workable” atau boleh dijadikan asas rundingan oleh Presiden AS, Donald Trump.
Pelan tersebut dihantar melalui perantara Pakistan ketika usaha diplomatik saat akhir berjaya mengelakkan serangan besar-besaran AS, sekali gus membawa kepada gencatan senjata sementara selama dua minggu.
Namun, The Guardian turut melaporkan bahawa kandungan pelan itu mengandungi beberapa tuntutan besar yang sebelum ini ditolak Washington, termasuk keperluan untuk, menarik balik sekatan ekonomi sepenuhnya, menerima program pengayaan uranium Iran, serta memberi kawalan tertentu kepada Iran ke atas laluan strategik Selat Hormuz.
Malah, perbezaan versi dokumen antara bahasa Inggeris dan Farsi turut menimbulkan keraguan dalam kalangan pihak Barat, khususnya berkaitan isu nuklear yang kekal sebagai titik paling sensitif.
Dalam masa sama, situasi di lapangan kekal rapuh apabila ketegangan ketenteraan masih berlaku, termasuk operasi Israel di Lubnan yang tidak termasuk dalam perjanjian gencatan senjata tersebut.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa dakwaan perang hampir tamat adalah terlalu awal. Sebaliknya, apa yang berlaku ketika ini lebih tepat dilihat sebagai fasa tawar-menawar geopolitik, di mana pelan Iran hanyalah titik permulaan—bukan penamat konflik. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.