
LANGGAR | 10 Apr 26 — Kumpulan pesawah menggesa kerajaan segera meneliti semula dasar subsidi diesel dan bantuan operasi pertanian, sambil memberi amaran bahawa penanaman padi berisiko dihentikan sekiranya tekanan kos terus berlarutan.
Dalam satu kenyataan Presiden Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah), Abd. Rashid Yob menyifatkan kenaikan kos diesel sejak kebelakangan ini sebagai antara faktor utama yang menjejaskan keseluruhan rantaian pengeluaran padi, khususnya melibatkan kerja pembajakan dan penuaian yang bergantung sepenuhnya kepada jentera.
“Apabila berlaku peningkatan kenaikan tren harga diesel yang kita tengok sebulan ini sangat memberi kesan yang sangat signifikan. Katanya kepada pemberita.
Mereka turut menyatakan peningkatan kos penggunaan jentera di sawah kini berada pada tahap yang membebankan.
“Peningkatan kos untuk menggunakan sawah adalah sangat tinggi, ujarnya.
Menurut mereka, kos pembajakan dan penuaian sahaja meningkat lebih 50 peratus, dan jika digabungkan dengan input pertanian lain, jumlahnya boleh mencecah lebih 60 peratus.
“Kalau kita campurkan dengan kos melibatkan input pertanian seperti baja, racun dan sebagainya, boleh mencecah kepada 65%.”
Mereka turut mendakwa sektor penanaman padi tidak termasuk dalam Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), menyebabkan pesawah terpaksa membeli diesel pada harga pasaran tanpa mekanisme perlindungan khusus. Keadaan itu, menurut mereka, menjadikan kos operasi tidak lagi stabil dan sukar diramal.
“SKDS untuk tanaman padi tidak disenaraikan… menyebabkan kami tak dapat fleet card.” Katanya.
Menurut mereka, kenaikan kos operasi kini telah meningkat secara ketara apabila digabungkan dengan harga bahan input lain seperti baja dan racun, sekali gus meletakkan beban kewangan yang tidak lagi mampu ditampung oleh pesawah kecil.
Selain isu diesel, pesawah turut menyatakan insentif kerajaan seperti bantuan pembajakan dan penuaian dianggap terlalu rendah berbanding kos sebenar di lapangan, sekali gus tidak mampu menampung jurang perbelanjaan yang semakin melebar.
Rashid juga mendakwa pelaksanaan bantuan sebelum ini tidak menyeluruh dan terdapat kelewatan dari segi pelaksanaan, menyebabkan pesawah terpaksa menanggung kos operasi secara sendiri dalam beberapa musim penanaman.
Sehubungan itu, PeSAWAHmenggesa kerajaan menilai semula struktur bantuan sedia ada serta mempertimbangkan penyertaan sektor padi dalam skim subsidi diesel bersasar bagi mengurangkan tekanan kos.
Dalam pada itu, kumpulan pesawah berkenaan memberi amaran bahawa sekiranya tiada tindakan segera diambil, mereka tidak menolak kemungkinan untuk menghentikan operasi penanaman padi bagi musim semasa. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.