
KUALA LUMPUR | 13 Apr 26 – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan Datuk Seri Hamzah Zainudin telah melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang.
Menurut beliau, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah diarahkan untuk menghantar surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memaklumkan kekosongan jawatan tersebut.
Samsuri menjelaskan, sebaik sahaja pemakluman rasmi dibuat, kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang secara automatik terbatal. PN dijangka menamakan pengganti sebelum sidang Parlimen seterusnya berlangsung.
Mengulas desakan beberapa pihak termasuk daripada Pas Johor agar jawatan itu diberikan kepada wakil parti berkenaan, beliau berkata perkara tersebut akan dibincangkan dalam kepimpinan gabungan. Katanya, pelbagai pandangan telah dikemukakan dan keputusan akan dibuat secara bersama.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan menggesa agar Ketua Pembangkang baharu dilantik segera bagi menjaga imej dan kredibiliti PN. Ini susulan kedudukan Hamzah yang tidak lagi bersama Bersatu dan gabungan tersebut selepas dipecat daripada parti. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.