“Tak Ada Siapa Nak Balik!” – Bekas Pemimpin BERSATU ‘Sekolahkan’ Muhyiddin

KEPALA BATAS | 27 Apr 26 — Seorang bekas pemimpin BERSATU tampil menyanggah kenyataan presidennya, Muhyiddin Yassin, dengan menegaskan bahawa realiti sebenar dalam parti itu ketika ini bukan soal menerima semula ahli dipecat, sebaliknya tiada siapa yang berminat untuk kembali.

Khalid Mehtab Mohd Ishaq, mantan Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas, menyifatkan kenyataan bahawa parti belum mempertimbangkan untuk menerima semula ahli yang dipecat sebagai tidak berpijak pada situasi sebenar.

“Isunya bukan Bersatu belum fikir untuk terima semula ahli. Hakikatnya, setakat ini tak ada sesiapa yang mahu kembali,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, terdapat dalam kalangan ahli yang sebelum ini dipecat telah menarik balik rayuan mereka, manakala sebahagian lagi langsung tidak membuat rayuan kerana tidak berminat untuk kembali ke dalam parti.

Malah, katanya, lebih membimbangkan apabila ramai yang tidak dipecat turut mengambil keputusan untuk keluar secara sukarela.

“Ada yang keluar bukan sebab dipecat, tetapi kerana sudah hilang keyakinan terhadap hala tuju parti,” ujarnya.

Beliau turut mendakwa keadaan itu berpunca daripada corak kepimpinan semasa yang didakwa terlalu memberi tumpuan kepada individu tertentu sehingga mengaburkan agenda perjuangan asal parti.

Dalam masa sama, beliau mengaitkan perkembangan itu dengan pengaruh Azmin Ali dalam parti, yang menurutnya kini memainkan peranan besar dalam menentukan hala tuju Bersatu.

“Dulu orang kata Azmin ‘loyalist’ Muhyiddin. Hari ini, persepsi itu sudah berubah,” katanya.

Tambah beliau, selagi kepimpinan sedia ada tidak berubah, isu membawa kembali ahli yang dipecat tidak lagi relevan kerana aliran keluar ahli dilihat lebih ketara berbanding sebarang kemungkinan kemasukan semula.

Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata bahawa Bersatu belum mempertimbangkan untuk menerima semula ahli-ahli yang telah dipecat. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share