Timbalan Speaker DUN Kedah Terima Notis Lembaga Disiplin BERSATU

KUALA LUMPUR | 30 Apr 26 — Percaturan politik dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berterusan apabila seorang lagi ADUN yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah dikenakan notis tunjuk sebab atas dakwaan pelanggaran disiplin parti.

Notis bertarikh 29 April itu dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin BERSATU terhadap ADUN Sungai Tiang, YB Abdul Razak Khamis, susulan beberapa tindakan yang didakwa bercanggah dengan perlembagaan dan garis parti.

Berdasarkan notis, antara pertuduhan utama ialah penglibatan aktif beliau dalam gerakan “RESET”, termasuk menghadiri program di Universiti Malaya, mempengerusikan mesyuarat peringkat negeri Kedah serta menyertai sambutan Aidilfitri gerakan berkenaan.

Beliau turut didakwa mengadakan sidang media meletak jawatan bersama 10 ahli jawatankuasa bahagian, selain menghadiri program politik yang dianjurkan individu yang telah digantung dan dipecat parti.

Kedudukan beliau sebagai Timbalan Speaker DUN Kedah menjadikan isu ini lebih sensitif, sekali gus mencetuskan persoalan tentang implikasi politik terhadap kestabilan pentadbiran negeri dan hubungan dalam blok parti.

Dalam notis tersebut, Abdul Razak diberi tempoh tujuh hari untuk menjawab, dengan amaran tindakan boleh diambil tanpa rujukan lanjut sekiranya gagal memberi penjelasan.

Berdasarkan rekod lalu, mereka yang menerima notis Lembaga Disiplin ini, akan berakhir dengan penggantungan atau pemecatan. Februari lalu, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zaiudin dipecat oleh Lembaga Disiplin atas dakwaan yang tidak jelas. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share