
SHAH ALAM | 7 Mei 26 — Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor tampil mempertahankan peranan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor sebagai Raja Berperlembagaan sambil menegaskan Baginda bukan sekadar “rubber stamp” dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Dalam satu kenyataan semalam, Dewan di-Raja Selangor menolak dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa titah Sultan Selangor ketika pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor baru-baru ini sebagai campur tangan terhadap urusan pentadbiran negeri.
Menurut kenyataan itu, titah Sultan adalah selari dengan prinsip Raja Berperlembagaan dan bertujuan memastikan pentadbiran kerajaan berjalan mengikut Perlembagaan serta kepentingan rakyat terus dipelihara.
“DYMM Sultan Selangor tidak mahu bertindak sebagai ‘rubber stamp’ atau sekadar formaliti dalam melaksanakan fungsi Baginda sebagai Sultan,” menurut kenyataan tersebut.
Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor turut menegaskan bahawa Sultan berperanan sebagai kuasa semak dan imbang atau check and balance terhadap pihak eksekutif bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa terjaga.
Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa Menteri Besar Selangor sememangnya dikehendaki berunding dengan Sultan dalam urusan pentadbiran negeri yang melibatkan kebajikan rakyat.
Menurut Dewan di-Raja, rundingan tersebut penting supaya Sultan dapat mengetahui perkembangan pentadbiran negeri serta memberi nasihat sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan.
“Pandangan dan nasihat DYMM Sultan berdasarkan kepentingan rakyat tanpa dipengaruhi kepentingan politik,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Dewan di-Raja Selangor mendedahkan bahawa Sultan Selangor sering menerima aduan terus daripada rakyat membabitkan isu banjir, kutipan sampah, jalan berlubang dan pelbagai masalah lain yang berkaitan kehidupan harian.
Menurut mereka, aduan yang diterima bukan bersifat umum atau tanpa identiti, sebaliknya disertakan nama, alamat dan nombor telefon pengadu sebagai bukti rakyat benar-benar berdepan kesulitan.
“DYMM Sultan sering menitikberatkan tindakan yang efektif dan bukan janji-janji kosong dalam menyelesaikan masalah rakyat,” menurut kenyataan itu lagi.
Dewan di-Raja Selangor turut menegaskan bahawa pengalaman Sultan Selangor selama 25 tahun sebagai Sultan dan 33 tahun sebagai Raja Muda menjadikan Baginda amat memahami peranan Raja Berperlembagaan serta tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat dan negeri.
Terdahulu, DYMM Sultan Selangor ketika bertitah pada Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 pada 20 April lalu menzahirkan rasa dukacita terhadap beberapa isu pentadbiran negeri termasuk masalah banjir, kebersihan Sungai Klang serta kelewatan penyelesaian isu melibatkan rakyat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.