Sultan : Tiada Ladang Babi Di Selangor ‘Full Stop’

SHAH ALAM | 8 Mei 26 – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menegaskan pendirian Baginda untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Negeri Selangor Darul Ehsan.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Dato’ Haji Mohamad Munir Bani semalam, Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap risiko pencemaran alam sekitar serta ancaman kepada sumber bekalan air awam sekiranya aktiviti penternakan babi diteruskan di negeri itu.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kekal dengan pendirian Baginda seperti yang telah ditegaskan menerusi Kenyataan Media bertarikh 10 Februari 2026 bahawa Baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Negeri Selangor Darul Ehsan,” menurut kenyataan itu.

Menurut Mohamad Munir, pendirian tersebut dibuat selepas mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran tanah, udara dan sungai melalui pelepasan najis serta sisa kumbahan.

“Baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada penduduk kira-kira 9 juta penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa kaedah penternakan moden yang mematuhi piawaian memerlukan kos terlalu tinggi dan tidak praktikal untuk dilaksanakan di Selangor.

“Justeru, Baginda mencadangkan agar daging babi diimport dari negeri lain seperti Sarawak bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam yang makan babi di Negeri Selangor. Bahkan negara seperti Singapura juga tidak menternak babi dan mengimport daging babi dari luar,” menurut kenyataan tersebut.

Selain faktor pencemaran dan kos operasi, Sultan Selangor turut berpandangan bahawa Selangor tidak lagi sesuai untuk industri penternakan babi memandangkan sumber tanah yang semakin terhad dan nilai hartanah yang tinggi.

“D.Y.M.M. Sultan Selangor juga berpandangan bahawa penternakan babi berskala besar mahupun kecil adalah tidak sesuai dilaksanakan di Negeri Selangor memandangkan sumber tanah yang terhad serta nilai hartanah yang tinggi, yang sewajarnya dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan yang lebih ekonomik dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh,” kata Mohamad Munir.

Dalam kenyataan sama, Sultan Selangor menegaskan supaya isu tersebut tidak lagi dipolemikkan demi menjaga keharmonian negeri.

“Sehubungan itu, D.Y.M.M. Sultan Selangor menegaskan agar isu penternakan babi ini dihentikan dan dimuktamadkan sepenuhnya (full stop) demi mengelakkan keresahan masyarakat serta memastikan keamanan dan keharmonian rakyat di Negeri Selangor terus terpelihara,” katanya.

Ini merupakan penegasan kali kedua oleh pihak Istana berhubung isu ladang babi. Sebelum ini pada 10 Februari 2026, Istana Selangor sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa Sultan tidak berkenan penternakan babi di Selangor. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share