Kerajaan Madani Derhaka Titah Sultan Selangor – Pemuda PAS

KUALA LUMPUR | 8 Mei 26 – Dewan Pemuda PAS Malaysia memberi tempoh 24 jam kepada Perdana Menteri, Menteri Komunikasi serta ADUN Seri Kembangan daripada DAP untuk memohon maaf secara terbuka kepada DYMM Sultan Selangor berhubung isu penternakan babi di negeri itu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kegagalan menghormati ketegasan titah Sultan Selangor mengenai larangan penternakan babi disifatkan sebagai satu bentuk penderhakaan terhadap institusi diraja.

“Pemuda PAS Malaysia menggesa Kerajaan Madani khususnya YAB Perdana Menteri, Menteri Komunikasi serta ADUN Seri Kembangan daripada DAP supaya memohon maaf secara terbuka kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan rakyat Selangor amnya di atas penderhakaan terhadap titah Tuanku Sultan Selangor mengenai isu penternakan babi di negeri tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan pendirian terbaru Sultan Selangor yang menegaskan bahawa isu penternakan babi di Selangor perlu dihentikan dan “dimuktamadkan sepenuhnya (full stop)”.

Menurut Afnan, amat mendukacitakan apabila titah Sultan Selangor didakwa masih tidak diberikan perhatian serius oleh Kerajaan Madani di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

“Malah, Pemuda PAS Malaysia juga kesal dengan kenyataan yang diberikan oleh Menteri Komunikasi semalam yang menyatakan bahawa penternakan babi di Selangor dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan dilihat bersungguh mempertahankan isu ladang babi sedangkan nasib pesawah di Kedah didakwa tidak diberikan perhatian sewajarnya.

“Mengapa pula Kerajaan Madani dilihat begitu bersungguh-sungguh mempertahankan pembinaan ladang ternakan babi sedangkan isu pesawah di Kedah sekadar dipandang sepi?” soalnya.

Dalam kenyataan sama, Pemuda PAS turut mendakwa kerajaan seolah-olah sengaja membuka semula perbahasan mengenai penternakan babi walaupun Sultan Selangor telah menyatakan pendirian secara jelas dan terbuka.

“Sepatutnya semua pihak akur dengan pendirian yang disampaikan Baginda, bukannya membuka semula perbincangan sehingga mengenepikan pandangan Baginda dalam isu ini,” katanya.

Afnan berkata, sekiranya tiada permohonan maaf dibuat dalam tempoh 24 jam, pihaknya akan menggerakkan laporan polis di seluruh negara.

“Jika tidak ada permohonan maaf dibuat dalam tempoh 24 jam, Pemuda PAS Malaysia tidak akan teragak-agak untuk menggerakkan laporan polis di seluruh negara berkenaan penderhakaan terhadap institusi diraja,” katanya.

Semalam, Istana Selangor mengeluarkan kenyataan kali kedua yang lebih keras, dengan menegaskan bahawa Sultan Selangor menolak apa jua cadangan untuk membuka ladang babi di seluruh negeri Selangor. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share