
KUALA LUMPUR | 11 Mei 26 — Gelombang penolakan terhadap tindakan disiplin dan kepimpinan Muhyiddin Yassin semakin terbuka apabila dua Ahli Parlimen yang digantung daripada BERSATU menegaskan mereka tidak akan membuat rayuan, malah akan terus mempersoalkan hala tuju parti itu sendiri.
Ahli Parlimen Rompin, Abdul Khalib Abdullah menyifatkan BERSATU kini “hilang arah” dan didakwa sedang dikuasai kelompok tertentu yang hanya mahu menjaga imej presiden parti. Beliau secara terbuka mengaitkan dirinya dengan kem bekas timbalan presiden, Hamzah Zainudin, yang menurutnya masih diyakini membawa perjuangan asal parti.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz turut mengambil pendirian sama apabila enggan membuat rayuan terhadap penggantungan dua penggal yang dikenakan ke atasnya.
Ikmal mempersoalkan asas tindakan disiplin tersebut selepas antara “kesalahan” yang dinyatakan ialah kehadirannya ke Program Aidilfitri Reset Malaysia serta program melibatkan pemimpin yang telah digantung dan dipecat parti.
Lebih menarik, Ikmal mendakwa tindakan terhadapnya mempunyai motif politik untuk menyekat peluangnya bertanding pada PRU16, namun menegaskan beliau tetap akan bertanding jika mendapat sokongan rakyat Tanah Merah.
“Saya akan tetap bertanding walaupun bukan lagi di bawah payung Bersatu,” katanya.
Sementara itu, Abdul Khalib pula memberi bayangan bahawa pemimpin yang digantung atau disingkirkan mungkin bakal membentuk gerakan politik tersendiri, sekali gus menambah tekanan terhadap kepimpinan sedia ada.
Dua ADUN yang dipecat juga diberitakan turut tidak akan merayu, malah bertekad untuk meneruskan perjuangan bersama Hamzah Zainudin.
Kenyataan ini menguatkan persepsi bahawa krisis dalaman BERSATU bukan lagi soal disiplin parti semata-mata, tetapi ia dipercayai adalah usaha menyingkirkan mereka yang menjadi penyokong kuat Hamzah. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.