
KUALA LUMPUR | 19 Mei 26 — Tokoh korporat terkenal, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary kini muncul sebagai pemegang saham utama baharu dalam Eco World Development Group Berhad selepas mengambil alih keseluruhan pegangan saham milik Datuk Leong Kok Wah dalam Syabas Tropikal Sdn Bhd.
Susulan transaksi itu, Leong tidak lagi mempunyai kepentingan besar dalam EcoWorld, manakala Syed Mokhtar memperoleh pegangan tidak langsung kira-kira 30.1 peratus dalam syarikat pemaju hartanah berkenaan.
Syabas Tropikal merupakan pemilik penuh Sinarmas Harta Sdn Bhd yang memegang hampir 969.9 juta saham EcoWorld. Pemindahan saham tersebut berkuat kuasa pada 15 Mei lalu.
Pengerusi Eksekutif EcoWorld, Tan Sri Liew Kee Sin dalam kenyataannya merakamkan penghargaan kepada Leong atas sokongan beliau sepanjang 13 tahun bersama syarikat itu.
“Kami mengalu-alukan penyertaan Tan Sri Syed Mokhtar dan berharap dapat bekerjasama membawa EcoWorld ke tahap lebih tinggi,” katanya memetik laporan NST Online.
Perkembangan itu dilihat sebagai langkah strategik terbaru Syed Mokhtar dalam memperkukuh pengaruh korporatnya, khususnya dalam sektor hartanah dan pembangunan bandar. Beliau sebelum ini terkenal menerusi penguasaan dalam sektor pelabuhan, logistik, automotif dan infrastruktur melalui syarikat seperti DRB-HICOM Berhad dan MMC Corporation Berhad.
EcoWorld ketika ini mempunyai bank tanah seluas kira-kira 4,770 hektar di Lembah Klang, Iskandar Malaysia, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dengan anggaran nilai pembangunan kasar mencecah RM100 bilion. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.