
KUALA LUMPUR — PAS mengarahkan semua pimpinan dan ahli parti supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau ulasan berhubung perkembangan semasa melibatkan hubungan PAS dengan pihak lain tanpa kebenaran rasmi parti.
Arahan itu diumumkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi satu kenyataan media, semalam.
Menurut beliau, larangan itu meliputi semua bentuk saluran media dan komunikasi termasuk media sosial.
“PAS meminta semua pimpinan dan ahli PAS agar tidak membuat sebarang kenyataan ataupun ulasan mengenai perkembangan terkini yang melibatkan pihak-pihak lain dengan PAS dalam mana-mana saluran media atau komunikasi melainkan dengan kebenaran khas parti,” katanya.
Takiyuddin turut meminta semua pihak supaya kekal tenang dan menyerahkan urusan berkenaan kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta kepimpinan tertinggi parti.
Katanya, perkara tersebut akan diuruskan secara cermat oleh pucuk pimpinan parti dalam masa terdekat.
Kenyataan itu hadir ketika spekulasi mengenai hubungan PAS dan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN) semakin hangat diperkatakan selepas Abdul Hadi sebelum ini memaklumkan PAS akan mengkaji semula hubungannya dengan BERSATU. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.