
KUALA LUMPUR | 28 Mei 26 — Mantan Ketua Bahagian BERSATU Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin mendakwa kenyataan pemimpin kanan Muhyiddin Yassin secara tidak langsung memperlihatkan pengaruh besar Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam landskap politik semasa.
Menurut beliau, reaksi defensif dan serangan terbuka terhadap Hamzah menunjukkan wujud kebimbangan dalam kem kepimpinan BERSATU terhadap penerimaan dan pengaruh politik Hamzah yang semakin berkembang.
“Secara tidak langsung mereka sebenarnya mengakui bahawa Hamzah mempunyai pengaruh besar dalam mencatur politik negara serta keupayaan menggerakkan sokongan politik di pelbagai peringkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keadaan itu dapat dilihat apabila pelbagai kenyataan dikeluarkan bagi menyerang Hamzah termasuk cubaan mengaitkan pelbagai pihak dalam polemik politik dalaman BERSATU.
Menurut Muqharabbin, tindakan sedemikian hanya memberi gambaran bahawa BERSATU kini semakin defensif dan mula bimbang terhadap perkembangan politik semasa.
“Mereka dilihat semakin gelabah dengan kemaraan dan penerimaan rakyat terhadap Hamzah sehingga PAS turut dikaitkan dengan pelbagai dakwaan yang tidak selari dengan fakta sebenar,” ujar beliau ketika mengulas serangan Marzuki Mohamad yang mendakwa mendakwa Hamzah Zainudin menggunakan nama PAS, UMNO dan Istana sebagai “modal politik” dalam gerakan dalaman untuk menjatuhkan Presiden BERSATU itu.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak menggunakan institusi diraja sebagai bahan polemik politik atau alat mempertahankan kedudukan politik tertentu.
Katanya, institusi diraja merupakan payung negara yang perlu dipelihara maruah dan kedudukannya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Mana-mana pihak tidak seharusnya menggunakan nama institusi istana sebagai perisai politik, bahan propaganda atau alat menyerang pihak lawan,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru agar budaya politik yang lebih matang dan bertanggungjawab dikembalikan dengan memberi fokus kepada isu rakyat serta kestabilan negara berbanding polemik dalaman parti yang berpanjangan.
“Rakyat mahu melihat politik yang lebih berfakta dan matang, bukannya pertikaian yang hanya menimbulkan kekeliruan,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.