Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri pada 2020 bukan melalui mandat pilihan raya umum, tetapi melalui perubahan konfigurasi politik yang dikenali sebagai Langkah Sheraton. Ini meletakkan asas kepada satu realiti penting iaitu kuasa beliau lahir daripada penyusunan semula elit politik, bukan daripada kemenangan elektoral yang tuntas.
Anwar Ibrahim pula menunjukkan trajektori berbeza. Beliau akhirnya menjadi Perdana Menteri, tetapi tidak melalui satu kemenangan pilihan raya yang mutlak. Sebaliknya, beliau membentuk kerajaan melalui gabungan pasca-pilihan raya yang melibatkan pelbagai blok politik termasuk Barisan Nasional, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Dari sudut politik kuasa, ini menunjukkan satu bentuk keupayaan yang berbeza. Suka atau tidak, kita perlu akui bahawa Anwar berjaya menunjukkan keupayaan membina pakatan kuasa bersama musuh politiknya.
Ini menjadikan Anwar kuat dalam aspek konsolidasi kuasa, walaupun tidak muncul melalui “tsunami pilihan raya” yang tunggal.
Ahmad Zahid Hamidi pula mewakili dimensi berbeza, iaitu kuasa organisasi parti. Walaupun berdepan cabaran politik, beliau masih berjaya mengekalkan kawalan terhadap UMNO sebagai parti teras dalam Barisan Nasional. Malah, beliau baru-baru ini, sanggup menerima kembali mereka yang keluar parti termasuk mereka yang menentangnya sebelum ini. Ini imej penting buat penyokongnya.
Dalam konteks ini, Zahid menunjukkan keupayaan mengurus struktur dan perbezaan dalaman parti walaupun berdepan tekanan politik luaran.
Jika dibandingkan secara struktur, kelemahan Muhyiddin Yassin bukan terletak pada keupayaan membaca peluang politik semata-mata. Sekalipun Langkah Sheraton berjaya menaikkan Muhyiddin, namun keupayaan tersebut tidak diikuti dengan pembinaan dominasi pilihan raya.
Politik Malaysia hari ini tidak lagi ditentukan oleh satu jenis kekuatan tunggal, tetapi oleh gabungan antara kuasa pilihan raya, konsolidasi selepas pilihan raya, dan kawalan organisasi parti. Inilah yang tidak ada pada Muhyiddin.
Inilah rekod Muhyiddin yang kurang diperhatikan baik-baik oleh ahli-ahli BERSATU dan Perikatan Nasional.
Bayangkan, setelah beberapa kali gagal memimpin kemenangan (PRN Melaka-2021, PRN Johor-2022, PRU 15 dan PRN Sabah 2025), pendukung Muhyiddin masih terus mahu mengekalkan beliau.
Usaha mengangkat Muhyiddin ini juga dilihat amat terdesak hingga badan pemikir Institut Masa Depan (MASA) yang diasaskan sendiri oleh Muhyiddin, telah membuktikan Muhyiddin masih popular disamping Anwar.
Dapan kajian ini amat diragui kerana ia seolah-olah mahu membina satu naratif bahawa Muhyiddin masih popular setanding Anwar Ibrahim. Sedangkan pada realitinya, Muhyiddin hanya mampu bertahan sebagai PM hanya 16 bulan, berbanding Anwar yang hingga kini, berjaya mengekalkan kerajaannya.
Di sini jelas, rekod sebenar dilapangan, menunjukkan bahawa Muhyiddin bukanlah pemimpin yang setanding dengan Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi.
Ramai dikalangan pemimpin BERSATU menasihati Muhyiddin agar berundur supaya parti BERSATU berpeluang dipulihkan. Namun mereka yang menasihati dilabel sebagai pengkhianat dan dikenakan tindakan disiplin hingga ada yang dipecat dan digantung.
Namum, hari ini Presiden PAS sendiri secara terbuka membangkitkan masalah BERSATU yang sudah mula menjejaskan imej PN secara keseluruhan. Ini menandakan, PAS semakin bimbang melihat krisis BERSATU hingga akan menjejaskan PN.
PN sudah kalah berkali-kali, jika krisis kepimpinan dan arah tuju BERSATU gagal diselesaikan, PN berisiko memasuki PRN16 dalam keadaan paling rapuh sejak penubuhannya. @analitiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.