
KUALA LUMPUR | 1 Jun 26 – Penyelaras RESET Selangor, Dato’ Suhaimi Mohd Ghazali menolak dakwaan bahawa Datuk Seri Hamzah Zainudin berjaya menduduki jawatan Timbalan Presiden BERSATU semata-mata hasil sokongan atau endorsement daripada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau, naratif tersebut tidak menggambarkan realiti sebenar sokongan yang diterima Hamzah dalam kalangan akar umbi parti menjelang pemilihan BERSATU pada tahun 2024.
Suhaimi mendakwa ketika itu, sokongan Ketua-Ketua Bahagian terhadap Hamzah berada pada tahap yang sangat tinggi, termasuk lebih 120 Ketua Bahagian yang menandatangani surat berkaitan pelan penggantian kepimpinan parti.
“Pada masa itu, kami Ketua-Ketua Bahagian berpandangan bahawa jika Hamzah memilih untuk bertanding jawatan Presiden, beliau mampu menang dengan mudah,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau turut mendakwa keputusan Muhyiddin untuk mengumumkan tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dibuat bagi mengelakkan cabaran terhadap kedudukannya sendiri.
Menurut Suhaimi, langkah tersebut menunjukkan Muhyiddin menyedari sokongan terhadap beliau dalam kalangan bahagian parti semakin merosot.
“Majoriti besar bahagian sudah hilang kepercayaan kepada beliau. Sebab itu kedudukan Presiden digunakan untuk menghalang pertandingan terbuka,” dakwanya.
Suhaimi turut mengaitkan tindakan itu dengan keputusan Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri yang mengisytiharkan darurat sewaktu berdepan kemelut politik, sambil menyifatkannya sebagai usaha mempertahankan kedudukan apabila sokongan semakin berkurangan.
Beliau menegaskan bahawa Hamzah tidak memperoleh kedudukan Timbalan Presiden kerana endorsement Muhyiddin, sebaliknya Muhyiddin yang mengekalkan pengaruhnya melalui keputusan tidak mempertandingkan jawatan tertinggi parti.
“Jika pemilihan diadakan secara terbuka, Muhyiddin sendiri akan kalah,” dakwa beliau lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.