
KUALA LUMPUR | 3 Jun 26 – Parti politik baharu yang bakal diumumkan tidak lama lagi akan membawa pendekatan berbeza dengan menjadi jambatan yang menghubungkan konsep “rumah bangsa” dan “payung besar”, kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, gerakan berkenaan melihat keperluan untuk mewujudkan satu wadah politik yang mampu menyatukan kekuatan masyarakat Melayu sebagai majoriti negara, di samping memastikan penyertaan adil masyarakat bukan Melayu.
Menurut beliau, jika satu pihak membawa pendekatan “rumah bangsa” manakala satu pihak lagi membawa konsep “payung besar”, kedua-dua pendekatan itu masih boleh bertemu sekiranya matlamatnya adalah untuk menaungi rakyat Malaysia.
“Kalau sekiranya satu pihak bercakap dengan rumah bangsa, satu pihak bercakap dengan payung besar tapi dua-dua ni nak memayungi orang lain, apa salahnya? Bukan apa salahnya, kehendak kita ialah seboleh-bolehnya kita nak letakkan parti kita nanti sebagai jambatan yang boleh menyatukan. Katanya dalam satu hantaran video, di facebook beliau, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjelaskan hala tuju gerakan yang bakal diterjemahkan melalui sebuah parti politik baharu.
Katanya, parti tersebut mahu menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat Melayu dan bukan Melayu untuk mendukung agenda bersama berasaskan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Tambah beliau, pendekatan parti baharu itu adalah untuk membentuk sebuah kekuatan politik yang stabil, dengan orang Melayu sebagai tunjang majoriti tetapi disokong secara adil oleh masyarakat lain.
“Bila kita bentuk sebuah pasukan, ia menjadi satu ketumbukan yang benar-benar kuat dan stabil yang ditunjangi oleh orang Melayu yang menjadi majoriti dalam negara kita tetapi didukung juga dengan adil, saksama dan bersungguh-sungguh oleh orang bukan Melayu yang juga mempunyai hak-hak yang sama berdasarkan Perlembagaan Malaysia,” katanya.
Beliau menegaskan parti berkenaan mahu tampil sebagai sebuah wadah politik yang berbeza dengan mencerminkan semangat Perlembagaan Persekutuan.
“Kita nak parti kita ini jadi parti yang berbeza, jadi parti yang benar-benar mencerminkan kehendak Perlembagaan Persekutuan,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.