
KUALA LUMPUR | 8 Jun 2026 – Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyindir tindakan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengeluarkan kenyataan media berhubung penerimaan surat jawapan daripada PAS berkaitan hubungan antara kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, surat yang dirujuk dalam kenyataan media BERSATU sebenarnya merupakan surat jawapan balas PAS terhadap surat yang dihantar Muhyiddin sebelum ini.
Menurut beliau, surat Presiden BERSATU bertarikh 25 Mei 2026 itu mengandungi respons terhadap kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas kuliah pagi Jumaat di Rusila pada 22 Mei lalu yang menyentuh mengenai hubungan PAS dan BERSATU.
“Ada yang bertanya surat apa yang PAS hantar kepada BERSATU seperti yang disebut dalam kenyataan media BERSATU hari ini.
“Suka untuk diberitahu, ianya adalah surat jawapan balas dari PAS terhadap surat yang Presiden BERSATU hantar sebelum ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Afnan menjelaskan surat yang dihantar Muhyiddin itu setebal 13 muka surat, manakala surat jawapan PAS pula sepanjang lapan muka surat.
Katanya, PAS mengambil keputusan menjawab surat tersebut kerana terdapat beberapa perkara yang perlu diperjelaskan dengan lebih lanjut dan terperinci.
“Surat BERSATU itu bertarikh 25 Mei 2026. Panjangnya 13 muka surat. Isi kandungannya adalah respons balas BERSATU terhadap satu sidang media oleh Presiden PAS usai kuliah pagi Jumaat di Rusila 22 Mei 2026 lalu mengenai hubungan PAS-BERSATU.
“Oleh kerana ada perkara-perkara yang perlu diperjelaskan PAS dengan lebih lanjut dan terperinci, maka PAS menjawab surat itu,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyelitkan sindiran terhadap tindakan BERSATU yang mengumumkan perkara itu kepada media.
“Bezanya, PAS tidak buat kenyataan media hanya semata-mata nak beritahu ia menerima surat dan menjawab surat.
“Itulah ceritanya. Sekian,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin menerusi satu kenyataan media memaklumkan bahawa beliau telah menerima surat daripada Setiausaha Agung PAS sebagai maklum balas kepada surat yang dihantar sebelum ini berhubung kedudukan dan hubungan antara PAS dan BERSATU.
Pertukaran surat antara kedua-dua pimpinan tertinggi parti itu berlaku ketika hubungan PAS dan BERSATU terus menjadi perhatian susulan pelbagai kenyataan terbuka mengenai hala tuju kerjasama politik dalam Perikatan Nasional. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.