
KUALA LUMPUR, 14 Mei – Sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan bagi menyiasat kemalangan tragis di Teluk Intan yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), semalam.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dalam satu sidang media berkata, pasukan itu akan dianggotai oleh pakar kerajaan dan bebas yang akan menasihati kementeriannya berhubung tindakan seterusnya.
Menurut menteri, pasukan ini akan meneliti punca kemalangan serta mengemukakan cadangan penambahbaikan terhadap aspek keselamatan jalan raya terutamanya melibatkan kenderaan berat.
Tragedi yang berlaku pada jam 8.40 pagi semalam, turut menyebabkan dua anggota FRU cedera parah.
Menurut saksi, kejadian berpunca apabila sebuah lori yang membawa batu kerikil melanggar trak FRU yang membawa anggota pulang dari penugasan kawalan keselamatan di Ipoh.
Menurut polis, punca kejadian masih disiasat, namun penemuan awal menunjukkan lori terbabit mungkin mengalami kegagalan sistem stereng. @politiko.my