Dr Mazlan Ali: Pelantikan Hamzah Isyarat PAS Iktiraf RESET dan WAWASAN

KUALA LUMPUR | 14 Jun 26 – Keputusan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengekalkan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang dilihat sebagai isyarat jelas bahawa PAS mengiktiraf peranan Gerakan RESET dan Parti Wawasan Negara (WAWASAN) dalam landskap politik pembangkang yang sedang berubah.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, pengumuman yang dibuat Abdul Hadi pada Konvensyen RESET di Kelantan semalam bukan sekadar melibatkan kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, sebaliknya membawa mesej politik yang lebih besar.

Menurut beliau, pengiktirafan itu bukan hanya diberikan kepada Hamzah sebagai individu, tetapi turut mencerminkan sokongan PAS terhadap Gerakan RESET yang diasaskan beliau selepas meninggalkan BERSATU.

“Pengiktirafan Presiden PAS bukan hanya kepada Hamzah Zainudin semata-mata, tetapi juga kepada Reset itu sendiri, iaitu gerakan yang dibawa oleh Hamzah Zainudin,” katanya.

Mazlan berkata, tindakan PAS mengekalkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang juga menunjukkan hubungan strategik yang semakin kukuh antara PAS dan kumpulan yang dipimpin bekas Timbalan Presiden Bersatu itu.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun PAS mempunyai jumlah Ahli Parlimen yang jauh lebih ramai dalam blok pembangkang, parti itu tetap memilih untuk mengekalkan Hamzah pada jawatan berkenaan.

“Ini menunjukkan PAS memandang Reset sebagai rakan strategik yang sangat penting ketika ini,” katanya.

Menurut beliau, perkembangan itu turut berlaku sehari selepas pengumuman penubuhan Parti Wawasan Negara, sekali gus memberi gambaran bahawa PAS bersedia menjalin kerjasama politik yang lebih erat dengan platform baharu yang diterajui Hamzah.

Mazlan berpandangan keputusan tersebut menandakan bermulanya penjajaran semula politik dalam blok pembangkang pasca keretakan hubungan antara PAS dan BERSATU.

Katanya, dalam konflik yang membawa kepada pemecatan Hamzah daripada Bersatu sebelum ini, PAS kini dilihat lebih cenderung untuk mengiktiraf Hamzah dan kumpulannya sebagai rakan politik yang penting.

“Ini adalah mesej yang cuba disampaikan oleh Presiden PAS melalui pengumuman tersebut,” katanya.

Beliau turut menjangkakan hubungan antara PAS dan Gerakan Reset, termasuk WAWASAN, akan diterjemahkan kepada bentuk kerjasama politik yang lebih tersusun menjelang pilihan raya akan datang.

Semalam, Hamzah memaklumkan bahawa nama Parti Wawasan Negara adalah ilham dari Presiden PAS. Dalam majlis yang sama, Abdul Hadi mengumumkan Hamzah kembali menjadi ketua pembangkang dewan rakyat. Keputusan tersebut dibuat setelah kesemua Ahli Parlimen menyatakan sokongan penuh terhadap Hamzah. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share